NASIONAL

KR1M: Najib perlu bertanggungjawab

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 OKT: Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak digesa bertanggungjawab atas kegagalan inisiatif rangkaian Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia menunjukkan pentadbiran Najib sekali lagi gagal merancang inisiatif KR1M secara menyeluruh sepertimana projek 1Malaysia yang lain.

Katanya, keadaan itu juga mengakibatkan lebih ramai rakyat menerima impak negatif.

NIK-NAZMi“Masalah pokok kenaikan kos sara hidup, pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta kadar gaji dan upah rendah yang seharusnya diatasi.

“Sudah tiba masanya kerajaan bertanggungjawab terhadap kesemua kegagalan ini,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mendakwa penutupan KR1M hanya bersifat sementara untuk menawarkan lebih pilihan dengan harga lebih murah kepada pengguna.

Katanya, nasib ribuan pekerja KR1M kini terletak dalam tangan kontraktor projek berkenaan, Mydin Mohamed Holdings Sdn Bhd (Mydin).

Nik Nazmi berkata, Mydin bagaimanapun mendakwa pihaknya menanggung kerugian besar akibat projek kerajaan itu.

“Nampaknya kedua pihak tidak mahu bertanggungjawab untuk masalah ini dengan kerajaan menyalahkan Mydin kerana meningkatkan harga barang, manakala Mydin pula menyatakan bahawa projek itu hanyalah tanggungjawab sosial korporat syarikat.

“Perkembangan ini amat merisaukan kerana ia memberi kesan buruk kepada ratusan mungkin juga ribuan pekerja KR1M,” katanya.


Pengarang :