Selangorkini
NASIONAL

Malaysia berisiko ditinggalkan negara ASEAN

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 OKT: Malaysia bakal tertinggal berbanding negara ASEAN lain jika masih lagi menumpukan industri berpaksikan buruh iaitu amalan perindustrian pada era industri 2.0.

Dekan Pusat Pembangunan Asasi Universiti Selangor (UNISEL), Dr Hamdan Dato’ Salleh berkata, kegagalan kerajaan menggubal dasar dengan mengambil kira perubahan holistik untuk mengubah industri yang ada selain menyediakan tenaga kerja bersedia mengharungi cabaran revolusi industri 4.0 turut menyebabkan pelabur asing beralih minat kepada negara lain.

ASEAN1“Secara umum, dasar yang ada masih menumpukan industri berpaksikan buruh dan itu adalah industri 2.0. Jika tiada dasar yang lebih efektif ke arah industri 4.0, maka negara akan tertinggal di belakang negara ASEAN lain.

“Setakat ini, belum ada dasar dan pelaksanaan jelas di peringkat pusat, yang ada hanya penekanan terhadap Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya ketika dihubungi SelangorKini, di sini, semalam.

Katanya, kerajaan juga perlu memikirkan keseimbangan antara industri dan tenaga kerja berholistik serta berkualiti supaya dasar itu bukan sekadar meningkatkan industri tetapi pada masa sama meminggirkan kepentingan melahirkan manusia yang seimbang dalam semua sudut.

Dr Hamdan berkata, negara juga perlu bersedia untuk melahirkan rakyat, graduan dan anak muda yang bersedia secara inklusif serta holistik bagi berhadapan dengan persaingan industri terutama\ aspek ketahanan, daya analisis, pemikiran kreatif juga fleksibiliti dalam menerima teknologi selain cabaran industri 4.0.

Beliau berkata, institusi pengajian tinggi di negara ini juga perlu segera mengubah struktur korikulum masing-masing bagi menyediakan bakal graduan ke arah revolusi industri 4.0.


Pengarang :