Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Saya ke China bukan melutut seperti Najib di AS

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 OKT: Kunjungan Kerajaan Negeri ke China adalah untuk menarik pelaburan masuk ke Selangor, tegas Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, tindakan itu seharusnya dicontohi Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak ketika mengunjungi White House.

Katanya, Putrajaya seharusnya lebih arif langkah Selangor berjaya meningkatkan Pelaburan Langsung Asing (FDI), pelaburan domestik dan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Pencapaian ini semua diakui Jabatan Statistik Negara.

“Sebaliknya Najib umum mahu gunakan duit rakyat untuk bina infrastruktur di sana, buat apa, Amerika Syarikat tidak perlukan duit Malaysia.

“Itu beza saya dan dia, saya bukan melutut ke China,” katanya kepada pemberita.

Beliau diminta mengulas perbezaan kunjungan dilakukannya ke luar negara berbanding Najib yang juga Menteri Kewangan.

Semalam, Najib menerusi pembentangan Bajet 2018 menyindir kononnya lawatan Kerajaan Negeri bertujuan menjual Selangor kepada pelabur luar.

Pada September lalu, Mohamed Azmin mengetuai delegasi Selangor ke Guangdong, China menghadiri Majlis Pembukaan Forum Pembangunan, Kerjasama Industri dan Kewangan negara itu.

Kunjungannya juga bagi memenuhi jemputan berucap oleh 21st Maritime Silk Road untuk berkongsi polisi dan dasar Kerajaan Negeri di hadapan pelabur berpotensi di sana.

=EZY=


Pengarang :