Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Terus fokus bangunkan Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

BATU CAVES, 1 OKT: Fokus Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali kini adalah membangunkan Selangor demi kebaikan rakyat dan tidak memberi perhatian terhadap tohmahan dilemparkan individu tertentu.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap dakwaan bahawa orang tengah yang propembangkang menjadi punca harga ikan menjadi begitu tinggi sekarang.

“Semua sedia maklum kos sara hidup sekarang bertambah mahal, mengapa nak disalahkan parti politik kerana kita tidak berkuasa di peringkat Persekutuan untuk melaksanakan dasar yang dapat membantu rakyat?

“Apa yang kita dapat lakukan adalah di dalam bidang kuasa Kerajaan Negeri seperti di Selangor dan Pulau Pinang yang mana kita telah berjaya melaksanakan dasar kepedulian kepada rakyat.

BANGUNAN SUK“Di luar Kerajaan Negeri, kita akan tunggu pilihan raya umum akan datang,” katanya kepada media selepas Majlis Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat dan Ramah Mesra Bersama Dato’ Menteri Besar di Masjid Al-Khairiyah, Taman Sri Gombak, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, seperti mana dititahkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, keutamaan Kerajaan Negeri adalah mentadbir negeri yang mendatangkan manfaat kepada rakyat dengan menggunakan mandat diberikan rakyat.

“Tidak perlu kita melemparkan fitnah dan tuduhan seperti ini yang tidak mempunyai asas dan tidak membantu kerana rakyat sekarang ini sedang tertekan dengan kos sara hidup yang mahal.

“Menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi membantu mereka kerana kesan kenaikan harga barang hari ini ialah disebabkan inflasi juga pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST),” katanya.

=EZY=


Pengarang :