SASTERA

Orang Sebelah

Oleh Faizal Sulaiman

 

11:15 malam. Namun, kelentang kelentung jiran sebelah yang sedang memasak kedengaran sangat menyebalkan. Entah apa yang gigih dimasaknya aku sendiri tidak tahu. Aku sendiri lebih rela membungkus nasi campur di warung dan makan sambil menonton Buletin Utama yang sekejap-sekejap terpadam siarannya akibat kondisi peti televisyenku yang sudah uzur. Hidup itu mudah. Kenapa perlu disusahkan dengan perkara remeh.

Aku melalui hari yang biasa pada esoknya. Hujan sejak pagi membuatkan hasil kerjaku agak culas. Entah kenapa tumpuanku asyik memikirkan rumah sewa dan Narita tipis hapak yang menjadi alas tidurku. Mungkin hujan lebat begini lebih enak diulit mimpi. Aku senyum sendiri. Jadi selepas pulang kerja, aku terus sahaja menuju ke warung nasi campur kegemaranku. Dari jauh aku sudah nampak pelanggan setia warung itu. Kebanyakannya bekerja pejabat sedang sibuk memilih lauk pauk untuk dibungkus pulang. Di zaman dimana menteri sudah mengusulkan supaya membuat dua kerja dalam satu masa, senario suami isteri sama-sama tidak sempat menguruskan hal rumahtangga kerana sibuk mencari nafkah hidup adalah perkara biasa.

Ketika aku melangkah masuk ke dalam, haruman ayam goreng berempah memancing seleraku. Aku tidak menangguh masa, lantas memilih nasi kukus, ayam berempah, kuah kari ayam, sedikit potongan timun dan sesudu teh sambal belacan sebagai menu makan malamku. Aku membungkus dua makanan yang sama sebelum membayar kepada juruwang. Apabila aku mengatakan makanan yang satu lagi hendak disedekahkan kepada jiran sebelah, juruwang itu senyum tawar. Katanya aku pandai mengambil hati. Aku senyum sahaja mendengar pujian itu. Jujurnya aku tidak punyai niat yang terselindung. Tidak salah berbaik-baik sesama insan. Bukankah itu dituntut dalam agama? Hujan yang turun mulai renyai. Aku redah juga tanpa peduli sambil sekali-sekala mengelak lopak air yang bertakung di bahu jalan. Percikan air lopak yang kotor amat susah dibersihkan.

Aku tiba di flat murah kediamanku kira-kira tiga minit selepas itu. Di ruang lantai kelihatan anak-anak tetangga lain sedang sibuk bermain kejar-kejar. Aku senyum. Teringat kembali zaman kecilku di Tanjung Karang dimana sungai dan lumpur menjadi lubuk permainan. Budak-budak sekarang mungkin tidak pernah kenal erti keseronokan bermandi parit atau bergelumang lumpur. Seronok sebenarnya menjadi kanak-kanak. Padaku, menjadi dewasa adalah sangat memenatkan. Kerja itu perlu untuk kelangsungan hidup. Habuan yang diterima setiap hujung bulan pula amatlah menyedihkan. Hidup hanya untuk membayar tanggungan sahaja. Ingin juga mempunyai duit tambahan sekadar untuk berlibur dan memanjakan diri sendiri. Mungkin aku perlu cuba dua kerja seperti saranan menteri. Uber dan Grab antara contoh terbaik. Tapi, mana aku ada kereta? Beranganlah kau!

Aku sudah sampai ke tingkat rumahku. Aku pandang pintu jiran sebelah yang masih tertutup rapat. Pintu grillnya siap bermangga. Sekadar keselamatan agaknya. Iyalah lebih baik beringat sebelum terkena. Enggan berlama-lama, aku keluarkan pen dan nota pelekat kemudian menulis beberapa perkataan sebelum diletakkan ke dalam plastik merah berisi nasi kukus yang ku beli lebih tadi. Aku sangkutkan pemegangnya pada tombol pintu. Kesian juga hampir setiap malam perlu memasak. Sudahlah penat. Bungkusan nasi ini cuma sumbangan kecilku. Niatku ingin membantu.

Aku masuk ke dalam rumah sebelum menguncinya dari dalam. Bungkusan nasiku letak di atas meja. Dengan stoking yang masih belum ditanggalkan, aku melabuhkan punggung di atas kerusi malas sambil menyandarkan beg galasku di tepi dinding. Tingkap ruang tamu yang terpelahang buka mendedahkan tiupan angin dingin bercampur bau air hujan dirasakan sungguh menyamankan. Tidak sampai beberapa minit melayan perasaan, aku tenggelam dalam lena.

Aku terjaga tatkala telingaku menangkap sayup-sayup bunyi pintuku diketuk orang. Aku masih termanggu. Aku gosok kedua mata ketika memandang jam yang semakin menghampiri 12 tengah malam. Aku bangun dalam keadaan longlai sambil berjalan lambat menutup tingkap yang galak meniup angin dingin dari hujan renyai yang tidak menampakkan tanda-tanda hendak berhenti. Bunyi pintu diketuk dari luar terdengar lagi.

“Kejap,” jeritku sambil mara menuju ke muka pintu. “Siapa?” tanyaku masih bingung, memilih untuk tidak melihat melalui lubang intip.

“Orang sebelah ni,” terdengar suara halus seorang perempuan di balik pintu.

Mataku bersinar cemerlang. Jadi jiranku ini seorang perempuan? Aku menepuk dahi. Patutlah rajin sangat memasak. Aku merapikan diri. Rambut yang kusut masai dibetulkan dengan gopoh-gapah. Dikesat pula bawah bibirku dengan hujung baju kalau-kalau ada tompokan air liur basi di situ. Tidak sia-sia rupanya aku bungkuskan nasi lebih! Nafasku hela megah. Dadaku bergelombang, cuba menahan debaran. Liurku ditelan. Aku sudah nekad. Kalau perempuan ini cantik, hujung minggu mendatang pasti ku ajaknya berkencan! Aku sengih. Niat suci murni petang tadi ku persetankan.

Aku memulas tombol pintu lalu membukanya dengan tidak sabar. Kami bertentangan mata sesaat kemudian. Memang benar seorang perempuan. Genit orangnya. Cuma yang membezakan hanyalah tubuhnya benar-benar tinggal sebelah. Lebih tepat bahagian kirinya sahaja. Di sebelah kanannya pula sudah reput, membusuk dimakan ulat. Cebisan daging seperti keruping kudis dan titisan darah merah mula jatuh mengotori lantai. Masih berdiri dengan sebelah kaki, dia menyeringai senyum.

“Terima kasih. Pandai awak ambil hati saya,” bisiknya.

Pandanganku gelap ketika mindaku mengingati senyuman tawar juruwang warung petang tadi. Aku tidak pasti apa yang akan jadi seterusnya ketika orang sebelah itu sudah tertawa mengilai-ngilai.


Pengarang :