Selangorkini
NASIONAL

PADI Rescue gesa Putrajaya tubuh Lembaga Padi

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 OKT: Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi dan Beras (PADI Rescue) menggesa Kerajaan Persekutuan mewujudkan semula Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN).

Koordinator PADI Rescue, Nur Fitri Amir berkata, penubuhannya bagi memastikan hak pengusaha tani terjamin dengan beberapa aspek pembaikan.

Beliau berkata, penambahbaikan itu termasuk LPN mempunyai kuasa penuh, pada setiap peringkat bermula dari pemilihan benih padi sehingga ke pemasaran beras, lapor BH Online.

“Hanya badan yang bebas dari kepentingan komersial atau keuntungan sahaja layak menjaga industri padi dan beras negara, bukan syarikat persendirian seperti BERNAS (Syarikat Padi dan Beras Nasional Berhad) yang ditadbir berdasarkan kepentingan komersialnya.

“Tidak dinafikan BERNAS berjaya dalam memastikan kelangsungan syarikat dengan mengaut keuntungan berjuta ringgit, namun syarikat terbabit gagal menjalankan tanggungjawab sosialnya untuk terus memperkasakan kilang beras milik Bumiputera.

“Kini, hanya 20 kilang Bumiputera yang menyertai skim di bawah BERNAS berbanding lebih 200 kilang sebelum ini. Kami hairan mengapa jumlah kilang berkenaan boleh merosot sedangkan keperluan beras di negara ini tidak pernah berkurang,” katanya.

Terdahulu, gabungan itu hadir menyerahkan memorandum 14 tuntutan di Bangunan Perdana Putra bersama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM), Ahmad Yazid dan Pengerusi Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia, Musonnef Md Radzi.

Antara 14 tuntutan itu termasuk kawalan tetap dikenakan terhadap kemasukan beras import sama ada secara sah atau tidak.

Selain itu, keperluan supaya kerajaan dapat memberi hak pemborong dan peruncit beras kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Malah, kajian semula penstruktruan kaedah pemberian subsidi harga padi perlu dijalankan bagi semua hasil sama ada dijual terus, digunakan sendiri untuk benih atau dikisar menjadi beras.


Pengarang :