Selangorkini
NASIONAL

Pakatan kesal Speaker tolak 10 soalan berkait 1MDB

SHAH ALAM, 23 OKT: Tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak lebih daripada 10 soalan anggota parlimen pembangkang hari ini amat dikesali pemimpin Pakatan Harapan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata, tindakan itu jelas memperlihatkan cubaan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperalatkan institusi parlimen khususnya berkaitan isu skandal 1MDB.

“Ini percubaan terkini kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib menyembunyikan dan menggelapkan situasi sebenar 1MDB daripada umum.

“Ia mengulangi tindakan sama pada sesi sidang yang lalu dengan hampir 30 soalan ahli parlimen berkait skandal 1MDB ditolak dengan alasan tidak munasabah,” katanya dalam sidang media, lapor MalaysiaKini.

Turut hadir pada sidang media itu adalah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin,Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan.

Sementara itu, Johari menyifatkan tindakan Speaker mengkategorikan soalanya yang ingin tahu wang 1MDB berjumlah AS$1.83 bilion sudah dibawa pulang ke negara sebagai ‘rahsia’ amat melucukan.

“Ini lagi lucu. Saya bertanya kepada menteri kewangan sejauh manakah arahan Bank Negara Malaysia (BNM) yang telah batalkan tiga kebenaran diberi kepada 1MDB di bawah Akta Kawalan untuk pelaburan di luar negara bernilai AS$1.83 bilion dan membawanya balik ke Malaysia telah dilaksanakan.

“Saya tanya itu saja, wang itu dibawa balik atau tidak. Jawapannya, sesuatu pertanyaan itu tidak boleh meminta keterangan berkenaan apa-apa perkara rahsia. Rahsia juga,” kata Johari dengan senyuman.

Susulan penolakan itu juga, ahli parlimen pembangkang mengemukakan usul di bawah Peraturan 99 Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi menyemak dan menentang keputusan Speaker.

Usul tersebut turut ditandatangani lebih 60 ahli parlimen PKR, DAP, AMANAH, BERSATU dan WARISAN.

Namun, usul itu juga ditolak tanpa alasan.


Pengarang :