BERITA UTAMA SELANGOR

Pembangunan KUIS komitmen Kerajaan Negeri maju pendidikan

OLEH HAFIZAN TAIB

BANDAR SERI PUTRA, 9 OKT: Keutamaan terhadap kemajuan dalam pendidikan dan projek pembangunan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) sentiasa diberi perhatian dalam usaha mencapai kegemilangan itu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pembinaan bangunan akademik baru dan proses pengubahsuaian perpustakaan Imam Al-Syafi’i di KUIS bagi menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri untuk mengangkat martabatnya sebagai institusi pengajian tinggi Islam tersohor di Selangor.

“Ia bukan sekadar memenuhi keperluan KUIS tetapi lebih penting bagi merealisasikan tekad dan iltizam mencapai kecemerlangan akademik dalam semua disiplin ilmu yang akan membangunkan tamadun.

“Sebagai institusi pengajian tinggi Islam, KUIS wajar mengambil peranan sebagai institusi yang mengimbangi ilmu berteraskan wahyu dan keintelektualan seperti diungkapkan sebagai aqliah bersama naqliah,” katanya.

Beliau berkata, tamadun Islam pada zaman kegemilangannya mencapai kemajuan dalam bidang perubatan, sains astronomi dan matematik kerana pemerintah ketika itu menggalas tanggungjawab menyediakan prasarana diperlukan bagi menyuburkan tradisi keilmuan.

Mohamed Azmin berkata, mengambil insprirasi daripada semangat itu, Kerajaan Negeri sentiasa memberi keutamaan untuk membina masyarakat yang memiliki keseimbangan antara pendidikan arus perdana dan pendidikan berteraskan agama.

LRM_EXPORT_20171009_104337-1280x853“Sebagai sebuah institusi pengajian bertaraf antarabangsa dan selaras motto ‘Pemangkin Tradisi Ilmu’, KUIS perlu bergerak selari dengan agenda menjadikan Selangor sebagai ‘Regional Smart State’.

“Cabaran KUIS yang berada dalam rantau nusantara adalah menangani krisis umat dengan mendakap prinsip kesederhanaan dan keadilan yang juga ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Bagi menjamin pelajar mencapai kecemerangan akademik, katanya, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan RM8 juta pada tahun lalu bagi membiayai projek menaik taraf infrastruktur teknologi maklumat serta kemudahan pengajaran dan pembelajaran di Kuis.

Turut hadir, Rektor Kuis, Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri, Exco Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi; Ahli Dewan Negeri Bangi, Dr Shafie Ngah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.


Pengarang :