Selangorkini
GLOBAL SAINS & INOVASI

Penemuan gua 50km panjang di bulan buka lembaran baru penerokaan

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 22 OKT: Saintis dan masyarakat dunia sudah berimaginasi dan berfantasi untuk mendiami bulan melalui penjelajahan sejak berabad lama.

Namun impian besar itu bakal menjadi realiti dengan penemuan gua di bulan yang berkemungkinan besar sesuai dijadikan tempat perlindungan.

Gua berukuran 50 kilometer panjang dan 100 meter lebar ditemui pasukan saintis angkasa lepas Jepun melalui pengesahan imej satelit Selena milik Jepun.

Penemuan kewujudan gua di bulan itu berpotensi dijadikan sebagai tempat perlindungan kepada angkasawan daripada radiasi berbahaya dan perubahan cuaca ekstrem.

Gua berkenaan dipercayai merupakan saluran lava yang terbentuk melalui aktiviti gunung berapi sekitar 3.5 bilion tahun lalu.

Penemuan penting dan bermakna itu turut diterbitkan dalam majalah sains terkemuka Amerika Syarikat (AS), Geophysical Research Letters.

Para saintis di Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (Jaxa) mengesahkan kehadiran sebuah gua selepas memeriksa lubang itu menggunakan gelombang radio.

Jurang yang panjangnya 50km (31 batu) dan lebar 100 meter, nampaknya berstruktur dan batuannya mungkin mengandungi deposit ais atau air yang boleh diubah menjadi bahan bakar, menurut data yang dikembalikan oleh orbiter, yang diberi nama Kaguya.

Penyelidik Agensi Penjelajahan Aeroangkasa Jepun, Junichi Haruyama berkata, gua terletak di kawasan Banjaran Marius itu dapat membantu melindungi angkasawan ketika berdepan masalah perubahan cuaca ekstrem atau radiasi berbahaya yang sering berlaku di permukaan bulan.

“Kami tahu mengenai lokasi yang dikenali sebagai saluran lava ini tetapi kewujudannya belum disahkan sehingga sekarang. Kami masih belum melihat bahagian dalam gua itu, jadi ada harapan yang tinggi untuk mendapatkan lebih banyak maklumat selepas menerokanya,” katanya.

Pada Jun lalu, Jepun mendedahkan rancangan untuk menghantar angkasawan ke bulan pada 2030.

Jepun dijangka menyertai misi yang dipimpin Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik (NASA) pada tahun 2025 untuk membina stesen angkasa di orbit bulan, sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang agensi itu meneroka planet Marikh.

NASA dan agensi-agensi angkasa global lain termasuk di China dan India kini dilaporkan berusaha untuk menjayakan misi menghantar angkasawan ke planet Marikh yang dijangka dimulakan menjelang 2030.

=EZY=

 


Pengarang :