SASTERA

Perihal genre, esei dan sasterawan

Oleh Raja Yusoff Raja Ariffin

SEORANG penulis tidak semestinya penyair, cerpenis, novelis, penulis skrip baik drama radio, televisyen, pentas, teater, filem atau esei. Atau, mereka barangkali hanya menulis salah satu atau lebih genre sastera. Apapun, penyair, cerpenis, novelis, penulis skrip dan esei sememangnya penulis.

Ada bertanya, bagaimana penulis layak digelar sasterawan? Sesetengah berpendapat, mereka yang menulis semua genre sastera sahaja layak dipanggil sasterawan selain penerima Anugerah Sastera Negara (ASN) yang membawa gelaran Sasterawan Negara (SN).

Alasan yang diguna pakai ialah menulis sajak (puisi moden/tradisional), cerpen, novel, skrip, dan esei sekaligus memang sukar kerana ia menuntut keupayaan daya kreatif dan ilmu bantu yang luas. Jadi, kemampuan mereka melakukannya wajar dikagumi dan berhak menerima imbalan tertinggi.

Namun, kemampuan dan pembabitan sebegitu belum memadai untuk melayakkan seseorang dipanggil sasterawan. Anggapan tersebut tidak tepat. Sasterawan boleh ditakrif sebagai individu yang menulis dan bergiat bersungguh-sungguh dalam kesusasteraan, menulis semua atau salah satu genre dan segala hasil karya membangunkan dunia kesusasteraan.

Sebab, semua hasil karya sastera berfaedah. Sastera bukan semata-mata berkarya untuk mengejar kebendaan seperti anugerah dan hadiah wang ringgit atau kemsyuhuran nama. Justeru, jika seseorang mengkhususkan karyanya kepada genre tertentu, sajak misalnya, penulis itu masih boleh dipanggil sasterawan.

Tiga belas SN sejak 1981 hingga 2016 menjadi dalilnya. Ada antara SN sinonim dengan satu genre sahaja. Baik satu atau lebih genre, yang terpenting ialah sumbangan karya mereka.

Matlamat ASN ialah memberi penghargaan tertinggi kepada penulis yang menyumbangkan kepada dunia kesusasteraan serta membina masyarakat, bangsa dan negara menerusi karya sastera.Panel penilai ASN tidak hanya mengkhususkan sesebuah genre sahaja tetapi semuanya. Yang utama ialah karya mereka berperanan dan memberi sumbangan seperti yang diingini. Secara mudah, makna sasterawan selaras dengan kehendak panel penilai.

Semua genre sastera memiliki peranan sama. Bezanya cuma sifat masing-masing. Sajak lebih pendek daripada cerpen, novel, drama pentas, filem dan esei. Namun, ia tetap mengkagumkan kerana mampu mengetengah persoalan yang luas dalam ruang yang padat. Begitu juga cerpen, novel, drama pentas, filem mahupun dan esei, semuanya ada kelebihan.

Ada kalangan penulis yang memberi perhatian kepada satu-satu genre sehingga nama mereka sinonim dengan genre berkenaan termasuklah semua SN — Allahyarham Keris Mas, Shahnon Ahmad, A Samad Said, Allahyarham Arena Wati, Allahyarham Abdullah Hussain, Allahyarham S Othman Kelantan, dan Anwar Ridhwan (novel), Allahyarham Usman Awang, Muhammad Hj Salleh, Kemala, Baha Zain dan Zurinah Hassan (sajak), dan Noordin Hassan (drama pentas, teater).

Penulis lain termasuklah A Latiff Mohidin, A Ghafar Ibrahim, Lim Swee Tin, Lim Kim Hui, Shapiay Mohd Ramly, dan Zaen Kasturi (sajak), Jong Chian Lai, Baharuddin Kahar, Azmah Nordin, Faisal Tehrani, dan Malim Ghozali Pk (novel), SM Zakir dan Zainal Rashid Ahmad (cerpen), Sharifah Abu Salem, Mazelan Manan, dan MF Kencana (drama televisyen), Norhisham Mustafa, MZ Halim Hassan, dan Zakaria MZ (drama radio), Dinsman, Zakaria Ariffin, Hatta Azad Khan, dan Ismail Kassan (drama, teater) serta Mamat Khalid, Kamal Ishak, Aziz M Osman, Yusof Haslam, Syamsul Yusof, dan Syafiq Yusof (filem).

Latiff, Swee Tin, Kim Hui, Shapiay, Zaen, Zakir, Zainal, dan Dinsman boleh dianggap sebagai sasterawan serta berpeluang menerima ASN. Latiff, Ghafar, Swee Tin, Chian Lai, Zaen, Zakir, Zakaria, Hatta, Ismail dan Malim lebih berpeluang kerana mereka merupakan penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award), anugerah tahunan sejak 1979 kepada penulis di Asia Tenggara.

Latiff menerimanya pada 1984. Swee Tin (2000), Zakaria (2001), Ghafar (2005), Chian Lai (2006), Hatta (2008), Zaen (2010), Zakir (2011), Ismail (2012), dan Malim (2013).

Mengapa ada disebut sekali nama penulis skrip filem? Sebabnya, skrip atau lakon layar filem juga karya sastera. Ini tidak disedari sebahagian besar orang sastera sendiri. Kenapa tidak, sedangkan filem berasal daripada skrip/lakon layar – ada sinopsis, watak dan kata bual seperti drama radio, televisyen dan pentas atau teater.

Mereka antara penulis skrip filem terkenal sama ada menulis berdasarkan karya orang lain atau idea asal mahupun karya sendiri. Penulis skrip filem sebagaimana penulis skrip drama radio, televisyen dan drama pentas serta teater juga sasterawan jika karya mereka bernilai sastera.

Keris Mas, Shahnon, Usman, Samad, Arena, Muhammad, Noordin, Abdullah, Othman, Anwar, Kemala, Baha, dan Zurinah memang diiktiraf sebagai sasterawan. Keris dianugerahi ASN pada 1981, Shahnon (1982), Usman (1983), Samad (1986), Arena (1988), Muhammad (1991), Noordin (1993), Abdullah (1996), Othman (2001), Anwar (2009), Kemala (2011), Baha (2013) dan Zurinah (2016).

Saya sengaja menyebut beberapa penulis bukan Melayu iaitu Swee Tin, Chian Lai dan Kim Hui sebagai mewakili penulis bukan Melayu di samping menunjukkan ASN tidak harus terbatas pada Melayu sahaja.

Mereka juga rakyat Malaysia, maka wajarlah ASN turut diperuntuk kepada penulis bukan Melayu. Namun, setakat ini belum ada penulis bukan Melayu menerima anugerah tertinggi tersebut. Belum layak?

Apapun, panggilan sasterawan boleh diberi kepada mereka. Swee Tin ada disebut-sebut bakal penerima SN ke-14. Tidak kurang juga menyebut nama Malim, sasterawan Perak.

Selain itu, penulisan esei tidak harus dikecualikan kerana perbincangan sastera sebenarnya bidang penulisan kreatif. Ini termasuk kupasan, ulasan dan kritikan terhadap sajak, cerpen, novel dan skrip selain menyentuh kegiatan serta tokoh sastera. Semuanya memerlukan daya kreatif untuk menghasilkan penulisan yang menarik.

Antara penulis esei terkenal antaranya Mohamad Daud Mohamad, Rahman Shaari, dan A Rahim Abdullah. Sementara Kassim Ahmad, beberapa era lalu, pernah berpolemik di akhbar dengan Shahnon mengenai sastera Islam. Antara penulis muda pula ialah Mawar Shafei, Ramlee Wahab, dan Ridzuan Kamis. Mereka begitu prolifik dalam penulisan esei sastera.

Penulis esei tidak wajar disisih daripada menerima ASN. Kerana ada antara mereka sememangnya layak dipanggil sasterawan.


Pengarang :