Perlembagaan: Denggi tanggungjawab Persekutuan, negeri hanya bantu | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Norway

Wartawan

Lizawati Madfa

Perlembagaan: Denggi tanggungjawab Persekutuan, negeri hanya bantu

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 12 OKT: Isu denggi merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan sepertimana diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan, kata Dr Daroyah Alwi.

Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga itu berkata, Kerajaan Negeri bagaimanapun tetap mengambil inisiatif membantu Kerajaan Persekutuan membanteras denggi secara konsisten.


Katanya, pendirian itu diambil kerana isu denggi melibatkan kesihatan awam dan nyawa rakyat Selangor.

“Kita sedia maklum, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan dengan jelas beberapa perkara diletakkan di bawah Kerajaan Persekutuan dan perkara berbeza diletakkan di bawah Kerajaan Negeri.

“Antara perkara yang menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan adalah berkaitan isu pendidikan dan kesihatan,” katanya dalam kenyataan.

Daroyah berkata, sejumlah RM5 juta peruntukan khas disediakan Kerajaan Negeri untuk program pencegahan dan pengawalan Aedes dan denggi, pada 2017.

Katanya, jumlah itu tidak termasuk bajet 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), menjadikan jumlah bajet keseluruhan adalah sekitar RM20 juta setahun.

“Kerajaan Negeri juga mengambil inisiatif melantik Ahli-Ahli Majlis PBT sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Denggi Zon.

“Ia bagi memastikan setiap zon di bawah seliaan masing-masing terjaga dan akhirnya bebas dari gejala itu,” katanya.

Untuk rekod, jumlah kes daftar denggi Selangor mencatatkan penurunan kes signifikan mulai minggu epid ke-28 sehingga kini.

Kes daftar terendah untuk sepanjang tahun 2017 adalah 527 kes iaitu pada minggu epid ke-38, yang berakhir pada 23 September lalu.

Sementara itu, minggu epid terkini iaitu minggu epid ke-39 Selangor pula mencatatkan jumlah hotspot terendah sepanjang 2017 iaitu hanya 23 lokaliti hotspot sahaja.

=EZY=

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next