Selangorkini
SELANGOR

PKNS bantu Yayasan IJN RM100,000, jaya CSR

OLEH HAFIZAN TAIB

KAPAR, 7 OKT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berbesar hati dapat bekerjasama dengan Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) dengan sumbangan zakat perniagaan RM100,000 kepada yayasan berkenaan.

Ketua Pegawai Korporat PKNS, Siti Zubaidah Abdul Jabar, berkata seperti mana tahun lalu, anak syarikat Kerajaan Negeri itu memberikan sumbangan sama sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR)nya.

“Program CSR PKNS di bawah jenama Kasih PKNS adalah program tahunan yang dilaksanakan sepanjang tahun di mana peruntukannya sama ada daripada peruntukan CSR mahupun wang zakat perniagaan PKNS.

“Ini menjadi kewajiban PKNS sebagai satu usaha memupuk nilai murni dan meraikan ukhwah antara PKNS dan badan kerajaan serta masyarakat secara umumnya.

ijn_pic11“Ia bertepatan dengan akronim perkataan Kasih bermaksud Kehidupan, Aman, Selesa, Indah dan Harmoni,” katanya dalam Majlis Penyerahan Sumbangan PKNS kepada Yayasan IJN dan Program Kesedaran Jantung “100% Sayangi Jantungku” sempena ulang tahun ke 22 Yayasan IJN di Kampung Sungai Serdang, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Siti Zubaidah menyerahkan sumbangan berkaitan kepada Pengerusi Yayasan IJN, Toh Puan Dr Aishah Ong dan disertai Exco Kerajaan Negeri merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi.

Siti Zubaidah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Wang Zakat PKNS berkata, pengagihan semula wang zakat perniagaan PKNS kepada Yayasan IJN adalah bagi memenuhi keperluannya dalam membantu pesakit muslim yang diklasifkiasi sebagai asnaf gharimin.

“Kita yakin Yayasan IJN mampu membantu PKNS bagi menyalurkan wang zakat perniagaan kepada pesakit asnaf gharimin yang mana antara mereka yang layak adalah pesakit kronik dan tidak berkemampuan.

“Melalui bantuan wang zakat ini kita berharap dapat membantu meringankan beban mereka yang memerlukan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :