Selangorkini
NASIONAL

Plaza Tol Bukit Kayu Hitam beroperasi di lokasi baharu mulai esok

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 31 OKT: Plaza Tol Bukit Kayu Hitam di KM0.65 Lebuhraya Utara-Selatan akan berpindah dan beroperasi di lokasi baharu di KM1.0 mulai jam 6 pagi, esok.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataan berkata, pembukaan plaza tol itu juga serentak dengan pembukaan Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam yang baharu esok.

Katanya pemindahan itu sebahagian daripada projek pembangunan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin & Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam yang baharu.

“Namun demikian, selepas beroperasi di lokasi baharu esok, kutipan tol di Plaza Bukit Kayu Hitam berkuatkuasa sehingga 31 Disember sahaja berikutan pengumuman pemansuhan tol seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2018.

“Selain itu, bermula esok, tempoh operasi plaza tol ini akan dilanjutkan di antara jam 6 pagi hingga 2 pagi setiap hari berbanding 6 pagi hingga 12 tengah malam ketika ini bagi urusan perjalanan orang ramai di sempadan,” katanya.

Sebelum ini pengguna media sosial mempersoalkan kewajaran pemindahan Plaza Tol Bukit Kayu Hitam itu berikutan Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan kutipan tol di lokasi itu semasa Bajet 2018.

=EZY=

 


Pengarang :