Selangorkini
SELANGOR

Program dijaya Yayasan IJN, PKNS beri manfaat penduduk tempatan

OLEH HAFIZAN TAIB

KAPAR, 7 OKT: Program kesedaran jantung “100% Sayangi Jantungku” memberi manfaat kepada penduduk setempat dan masyarakat di sekitar Kampung Sungai Serdang, di sini, hari ini, terhadap pemeriksaan dan penjagaan kesihatan.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, penganjuran program dijayakan Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di kawasan itu adalah satu usaha baik bagi menyalurkan maklumat berkaitan penjagaan kesihatan khususnya jantung.

“Ia satu program amat bermakna bagi penduduk di kampung ini dan DUN Sementa kerana secata tidak langsung mereka mendapat manfaat daripadanya.

“Alhamdulillah ia usaha yang baik daripada PKNS dan Yayasan IJN dalam mengadakannya serta pendekatan bagi mendekati masyarakat,” katanya dalam Program Kesedaran Jantung “100% Sayangi Jantungku” bersempena Ulang Tahun ke 22 Yayasan IJN.

IJNDalam program sama, turut diadakan penyerahan sumbangan wang zakat perniagaan PKNS RM100,000 diserahkan Ketua Pegawai Korporatnya, Siti Zubaidah Abdul Jabar kepada Pengerusi Yayasan IJN, Toh Puan Dr Aishah Ong.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa itu berkata, usaha dilaksanakan Yayasan IJN dan PKNS adalah selari dengan apa dijayakan Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM5.5 juta bagi membantu rakyat di Selangor yang memerlukan bantuan kesihatan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :