Selangorkini
NASIONAL

Provokasi Jamal tiada restu Umno

ccsb-ads

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Bukan sahaja dikecam kerana membuat provokasi di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, malah tindakan Datuk Seri Jamal Md Yunos turut dikritik pimpinan kanan Umno.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbuatan Ketua Umno Sungai Besar itu memecahkan botol minuman keras di hadapan pejabat Kerajaan Selangor, semalam tidak direstui parti.

“Kami tidak sokong perbuatannya. Beliau juga pengerusi NGO (badan bukan kerajaan) dan seorang daripada ketua bahagian kami.

“Satu daripada 191 (bahagian), lagi 190 tidak pecahkan apa-apa,” katanya lapor BHOnline.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan ke-10, di sini, hari ini.

Semalam, Jamal bersama anggota gabungan itu membawa 10 kotak berisi kira-kira 100 botol minuman keras ke SUK, sebagai simbolik bantahan terhadap penganjuran pesta arak di negeri berkenaan.

Jamal kemudian bertindak memecahkan semua botol minuman keras itu di depan pintu masuk utama bangunan terbabit.

Ekoran tindakan itu, polis menahan Jamal dan tujuh individu lain selepas menerima laporan kejadian daripada pengawal keselamatan.


Pengarang :