Selangorkini
BERITA UTAMA EKONOMI NASIONAL

Putrajaya catat Perbelanjaan Penggunaan Isi Rumah Bulanan Purata tertinggi

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

SHAH ALAM 10 OKT: Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan Perbelanjaan Penggunaan Isi Rumah Bulanan Purata tertinggi di Malaysia pada 2016 mengikut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia dikeluarkan pada 9 Oktober iaitu pada RM6,971.

Ia diikuti oleh W.P. Kuala Lumpur (RM6,214), Selangor (RM5,183), Melaka (RM4,374), Pulau Pinang (RM4,190), Johor (RM4,148) dan W.P. Labuan (RM4,069).

Negeri-negeri lain merekodkan perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata di bawah paras nasional (RM4,033).

Statistik perbelanjaan penggunaan isi rumah itu diperoleh berdasarkan penemuan daripada Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah (HES) yang dijalankan pada 2016 dan 2017.

Penyiasatan ini dilaksanakan melalui kaedah temu ramah bersemuka dalam tempoh 12 bulan sepanjang 2016, merangkumi kawasan bandar dan luar bandar di semua negeri.

Penyiasatan ini dijalankan menggunakan pensampelan berkebarangkalian mewakili semua isi rumah di Malaysia.

Perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata Malaysia telah meningkat daripada RM3,578 pada 2014 kepada RM4,033 pada 2016 iaitu pertumbuhan 6.0 peratus setahun pada nilai nominal.

Perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata di bandar menunjukkan peningkatan pada kadar 5.8 peratus setahun daripada RM3,921 kepada RM4,402.

Manakala di luar bandar juga meningkat pada kadar 5.7 peratus setahun daripada RM2,431kepada RM2,725 bagi tempoh 2014 hingga 2016.

 

=EZY=

 


Pengarang :