SELANGOR

Rakyat mahukan pembelaan bukan politik tak bernilai, maki hamun

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 22 OKT: Rakyat semakin mual dengan tindakan sesetengah pihak yang mengamalkan politik tidak bernilai, maki hamun dan mencetuskan ketegangan di dalam masyarakat demi memastikan kelangsungan politik mereka.

Dato’ Menteri Besar , Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sedangkan rakyat hari ini sedang tertekan dengan peningkatan kos sara hidup dan memerlukan pembelaan sewajarnya.

“Kita sedang berlumba membuat kebaikan seperti diperintahkan Allah, bukan berlumba-lumba untuk memfitnah, bukan berlumba untuk budaya samseng dan rakyat hari ini tidak berminat dengan politik tidak bernilai, maki hamun dengan mencetuskan ketegangan sedangkan rakyat di bawah sedang susah.

“Rakyat sedang memerlukan pembelaan dan saya berdiri di sini bersama pimpinan berikrar kepada tuan-tuan, tanggungjawab yang sedang kami galas ini kami akan laksanakan dengan jujur, ikhlas dan berintegriti demi mengangkat martabat umat dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) Daerah Kuala Selangor dan Penyampaian Anugerah Kampung Tradisi Terbaik dan Inovasi Desa Terbaik Negeri Selangor 2017 di Masjid Darussalam, Kampung Bukit Kuching Jeram di sini, malam tadi.

Bagaimanapun jelasnya, usaha Kerajaan Negeri membantu rakyat menerusi pelbagai program cuba ditenggelamkan oleh media kawalan kerajaan Umno-BN dengan memaparkan pelbagai fitnah yang memburukkan Kerajaan Negeri.

“Pembohongan dan fitnah seperti ini tidak akan kekal kerana saya dan kepimpinan akan turun ke bawah memastikan setiap kampung dan desa juga menikmati kekayaan hasil negeri,” katanya.

=EZY=


Pengarang :