Selangorkini
NASIONAL

Rakyat perlu lakukan ‘sesuatu’, ubah negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 15 OKT: Pembentukan negara demokrasi dan dipimpin kerajaan bebas rasuah boleh dilaksanakan sekiranya rakyat bersatu menolak kepimpinan kleptokrasi.

Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, rakyat perlu bijak menjalankan tanggungjawab untuk memilih pimpinan yang mengamalkan prinsip keadilan dan amanah.

“Negara kita ini tanggungjawab kita bersama. Rakyat perlu lakukan sesuatu untuk diri kita dan negara.

“Tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban, semuanya mahukan kebaikan dan kitalah yang menetukan masa depan negara ini secara bersama.

“‘Turun ke pilihan raya dan undi Pakatan Harapan,” katanya ketika berucap pada himpunan anjuran Pakatan Harapan (HARAPAN), di Padang Timur Petaling Jaya, malam tadi.

Himpunan yang mengambil slogan antikleptokrasi – Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi dianjurkan bagi memberi pendedahkan kepada umum terhadap amalan salahguna kuasa di peringkat Putrajaya.

Penganjurannya juga signifikan susulan reaksi Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam perkembangan itu, himpunan berkenaan menyaksikan ribuan masyarakat dari seluruh negara yang mula berkumpul sejak jam 4.00 petang, semalam.

Sebagai simbolik kepada penolakan amalan kleptokrasi, peserta himpunan yang hadir turut melafazkan Ikrar Padang Timur dan mengangkat pelbagai sepanduk seperti Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi, Bebas Anwar dan melaungkan kata keramat, Reformasi.

Terdahulu, istilah kleptokrasi merujuk kepada sebuah pentadbiran yang dikuasai pemimpin yang mengamalkan amalan rasuah dan penyelewengan.

=EZY=


Pengarang :