SASTERA

Robot

Oleh Ainul Zakirah Abdul Rahim

Mac, 1956

DIA membelek-belek robot itu. Kelihatan robot itu amat menarik perhatiannya. Warna-warni butang di badan robot membuat jarinya menari-nari. Setiap inci badan robot diperiksanya. Sehingga tiada sekelumit habuk pun melekat di badan mainan besi itu. Robot besi hadiah bapa, dipegangnya dengan cermat. Tidak mahu mainannya tercalar. Tidak mahu mainan barunya itu hilang.

Bagi anak muda yang hanya berkasut lusuh ke sekolah setiap hari, hadiah ini terlalu berharga buat dirinya. Keluarganya orang susah. Makan pakai hanya cukup-cukup. Namun ternyata kasih bapa itu setinggi langit. Sempena ulang tahun hari lahirnya ke-12, bapanya memberi bungkusan surat khabar kepadanya. Baiknya anak ini tidak mengharapkan apa-apa daripada bapa tua ini. Tetapi, bapa tua ini tidak sanggup melihat satu-satunya anak dia bersedih pada hari ulang tahunnya. Anak itu membuka bungkusannya lalu berlinanganlah air matanya.

“Jaga ia. Belajar daripada ia,”  kata bapa.

Baik, bapa.

Sejak itu, kata-kata bapanya tersemat kemas di dadanya. Kedua-dua manusia hebat ini tidak akan disia-siakannya. Dijaganya sehingga mereka tua. Dibawakannya jalan-jalan jika mereka mahu bertukar angin. Katakan apa sahaja yang mereka mahu dan perlukan, pasti dia berusaha untuk memenuhi. Kerana dia sayang. Amat sayang akan orang tuanya.

Jan, 2015

Ibu bapanya telah pergi. Pergi tidak kembali. Namun, kenangan dan memori tetap bersama. Hari ini dia mempunyai keluarganya sendiri. Diasuh anak-anaknya menjadi manusia yang manusia. Manusia yang dapat diperoleh manfaat daripadanya. Dididiknya anak-anak itu bersama wanita yang solehah. Solehah dari sudut agama dan akhlaknya. Solehah yang tidak jumud bahkan fikirannya terbuka. Malah, bersedia untuk tidak dipersetujui pandangannya.

Melalui peredaran zaman di Tanah Melayu membuatkan dirinya yang tua ini belajar. Belajar untuk memerhati dan memahami. Memerhati dunia dan manusia. Memahami perangai dunia dan manusia. Kemajuan ekonomi dunia beredar seiring ‘kemajuan’ sosial. Lambakan gajet-gajet mula membanjiri pasaran. Tanpa gajet dirinya dianggap kuno. Kolot. Tidak up-to-date.

Tetapi, apakah kuno itu berdosa? Kolot itu hina?

“Nanti ayah dapat berbual dengan kami di luar negara sambil bersua muka. Asyik dengar suara ayah saja tidak puas.”

Pujukan lembut daripada anak-anaknya membuatkan dirinya akur. Dia amat menekankan adab dalam diri anak-anaknya. Menitip pesan bapa kepada anak-anaknya.

“Manusia berbudi sentiasa diingati sampai mati.

 Maka dia akur. Dengan itu juga dia memahami peredaran zaman. Zaman ini bukanlah zaman kegemilangannya dahulu. Dengan mata yang kadang-kadang kabur, dia cuba untuk melihat dunia. Dunia yang baginya semakin aneh. Pelik.

Hari ini dia mahu berjalan-jalan. Terasa mahu merenungi alam dan dunia sekeliling. Memandangkan dia sudah bersara, maka dia tidak payah membanting tulang menyara keluarga. Syarikat kasut yang paling terkemuka di negara ini, dialah empunya.

Dia bersiap-siap. Mengemaskan rambut dan janggut agar sentiasa kelihatan bersih. Kakinya melangkah ke almari bajunya. Dia mengeluarkan sesuatu dari dalam almarinya. Robot besi hadiahnya. Sudah lama, bahkan boleh dianggap sebagai besi buruk. Namun, dia sayang. Robot itu menyimpan memori dan segala rasa sepanjang hidupnya. Robot itulah peneman dia sentiasa. Bersama robot itu jugalah dia membuat kerja sekolah dengan ditemani sinaran lilin pada waktu malam. Robot itu jugalah menemani dia mengharung sawah bendang pada petang-petang.

Hari ini hari dia untuk tenggelam bersama memori. Lalu dia membawa robot itu dalam kocek baju Melayunya sebelum melangkah keluar. Dia mahu menumpang teksi untuk pergi ke stesen komuter terdekat. Seusai mencium dahi isteri, dia pergi. Dia membeli tiket ke arah KL Sentral sebelum menukar tren ke Titiwangsa.

Orang ramai pasti hairan. Mahu ke mana sajalah orang tua ini mahu pergi dengan patung robotnya?

Tapi hidupnya bukan berprinsip tunduk pada pandangan majoriti. Maka apa yang dia peduli pada pandangan manusia? Selagi Tuhan kata ia tidak berdosa, selagi itu dia masih aman.

Di dalam tren, dia diberi peluang untuk duduk. Tua-tua begini kaki sudah kurang daya tahannya. Untungnya ada seorang pemuda memberikannya duduk. Ternyata masih ada lagi manusia yang manusia. Dia membelek robotnya itu langsung teringat akan pertama kali dia memiliki barang permainan hasil titik peluh bapa. Robot yang tidak mempunyai akal, fikiran, perasaan mahupun suara. Seandainya robot ini mempunyai jiwa, pasti banyak perkara yang mahu robot ini beritahu kepada dia. Justeru dia tertanya, adakah robot ini mempunyai usia? Seawal penciptaannya, adakah dia akan mati?

“Jaga ia. Belajar daripada ia.”

 Pesan bapa itu tiba-tiba terlintas di fikirannya. Lalu satu persoalan muncul.

Apa yang bapa mahu aku belajar daripada robot lama ini?

Dia memandang sekeliling. Hanya ada tiga stesen sebelum sampai ke destinasinya. Dia hanya lihat manusia. Ada yang berdiri, ada yang duduk. Namun, dia melihat satu persamaan antara manusia-manusia ini.

Tunduk.

Tatkala itu dia menggenggam robot besi itu tanpa sedar. Lalu dia merenung robot kesayangannya itu. Lama. Dan satu persoalan pula muncul. Apakah manusia kini seakan-akan robot? Tunduk kepada sistem yang diatur. Menerima apa saja yang dikatakan baik. Ikut saja apa yang majoriti masyarakat terima. Sehingga gagal untuk menilai sendiri apa yang ada di depan mata. Tidak berupaya untuk berfikir mengapa mereka mengikut. Ikut-ikut saja.

Robot di tangannya bisu. Robot di tangannya itu tidak berakal. Robot di tangannya tidak mampu bersuara. Robot di tangannya hanya mengikut ke mana dibawa. Robot dalam genggamannya hanya tunduk!

Dia seolah-olah melihat sebuah tren yang dipenuhi dengan robot.

Sudah tiada lagi sapaan salam diterimanya. Meskipun dia tidak dikenali siapapun. Tapi, bukankah Islam itu menganjurkan penganutnya untuk memberi salam hatta orang itu tidak dikenali? Apabila bertemu teman-teman pun, seperti dia bercakap dengan robot.

Tiada lagi keseronokan dalam berbual bersama teman lama, tiada lagi kepuasan yang dirasai. Dia sedang berdepan dengan robot yang sudah lupa memori lampau. Kerana memori itu telah disedut dengan teknologi yang dianggap baik, sempurna, memudahkan dan canggih!

Andai saja dia boleh memprogramkan semula robot ini, dia pasti akan memasukkan cip perasaan dan cip upaya untuk berfikir dengan waras. Kerana hanya dengan kedua-dua cip ini boleh mengembalikan mereka ke dalam dunia sebenar.

Dengarlah pesan bapa tua ini.

Jangan biarkan dirimu menjadi manusia robot, anakku. Jagalah dirimu. Tulisan ini sebahagian yang dapat aku ambil pengajarannya daripada hadiah bapa. Jadikan teknologi sebagai alat. Bukan sebagai Tuhan yang engkau perhambakan. Jangan jadikan teknologi itu berhala dan kerajaan itu Tuhan yang memberi segala.


Pengarang :