Selangorkini
EKONOMI

Saham Asia catat kenaikan ekori lonjakan Wall Street

SYDNEY 11 OKT: Saham Asia menokok pagi ini menjejaki kenaikan semalaman di Wall Street yang mencatat rekod tertinggi.

Indeks MSCI, yang menjejaki saham Asia Pasifik di luar Jepun, naik 0.24 peratus untuk menguji 545.56, paras puncak baru-baru ini, lapor REUTERS.

Saham Australia menokok 0.6 peratus ke paras tertinggi satu bulan dan indeks New Zealand naik ke rekod tertinggi baharu.

Indeks KOSPI Korea Selatan menambah 0.3 peratus ke paras tertinggi dua setengah bulan.

Sentimen dipengaruhi kenyataan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi global bagi 2017 dan 2018, dipacu peningkatan perdagangan, pelaburan dan keyakinan pengguna.

Di Jepun, indeks Nikkei 225 didagangkan rendah.

Ia didagangkan 0.04 peratus, atau 8.76 mata lebih rendah, kepada 20,814.75 pada awal dagangan manakala indeks meluas Topix turun 0.01 peratus atau 0.21 mata, pada 1,694.93.

Dalam pasaran mata wang, euro menokok sekitar AS$1.1816, tidak jauh daripada paras tertinggi Selasa pada AS$1.1825, selepas Presiden Catalonia, Carles Puigdemont menyarankan rundingan dengan Madrid bagi masa depan rantau itu.

Situasi itu membimbangkan ekonomi utama dalam zon euro tetapi disambut baik pelabur yang menyaksikan indeks hadapan IBEX 35 di Madrid menokok 1.1 peratus.

Indeks dolar turun kepada 93.22, berbanding beberapa mata wang utama, ke paras terendah sejak 29 September.

Harga emas berlegar sekitar paras tertinggi dua minggu susulan kelemahan dolar AS, dengan harga emas semerta naik 0.18 peratus pada AS$1,289.61 satu auns.

=EZY=


Pengarang :