Selangorkini
RENCANA

Satu Keluarga Satu Kediaman Yang Sempurna

OLEH LIZAWATI MADFA

Dasar Rumah Untuk Semua

Bukan sekadar ‘asal ada’, Kerajaan Negeri berhasrat setiap rakyat negeri ini memiliki rumah yang sempurna, selesa dan selamat untuk didiami seisi keluarga.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad mahu rakyat yang belum ada kediaman dapat beli rumah yang sempurna.

“Jika tidak mampu beli, mereka juga kita sasarkan dapat menyewa kediaman yang sempurna dan bagi mereka yang sudah ada kediaman, kita mahu rumah mereka dalam keadaan sempurna,” katanya.

Katanya, definisi rumah sempurna juga bukan merangkumi segi fizikal semata-mata tetapi meliputi aspek spiritual, sosial, kepimpinan dan ekonomi.

“Kita mahu membina masyarakat supaya menikmati kehidupan lebih kualiti dan sejahtera.

“Tiada guna rumah hebat manapun, jika pembinaan masyarakat berkualiti tidak berjaya tercapai.

“Atas sebab itu, kita tekad mahu siapkan rumah sempurna, fizikal dan spiritual buat semua,” katanya.

 

Pemaju dikenakan syarat ketat

Sehingga kini, hampir 100,000 unit Rumah Selangorku diluluskan pembinaannya di seluruh Selangor.

Iskandar berkata, pemaju sebelum ini terikat dengan polisi 20:20:10, yang mewajibkan pembinaan 20 peratus rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah (20 peratus) dan rumah kos sederhana (10), tanpa mengira permintaan.

Katanya, polisi itu bagaimanapun didapati memberi bebanan kepada pemaju terutama dari segi kos, sehingga pemaju hanya menumpukan pembinaan rumah kos rendah sahaja.

“Kini, peratus jenis rumah yang wajib dibina oleh pemaju adalah bergantung kepada lokasi projek.

“Contohnya, bagi kawasan di mana permintaan rumah Jenis A (RM42,000) adalah rendah, hanya 10 peratus diwajibkan dibina.

“Tetapi di kawasan di mana terdapat permintaan, pemaju wajib membina sehingga 20 peratus rumah jenis A sepertimana polisi lama,” katanya.

Iskandar berkata, pemaju juga diwajibkan membina rumah mampu milik bersekali dengan rumah harga bebas.

“Kita mahu pastikan pengalaman dulu berulang lagi, di mana mereka buat rumah harga bebas tetapi rumah mampu milik mereka tak bina sampai sekarang atau ada juga pemaju bertindak jual tanah.

“Kalau mereka mahu buat rumah lain kita tak benarkan dan kita akan bagi ‘stop work order’,” katanya.

 

Inisiatif buat mereka yang tak mampu

Setakat 31 Ogos lalu, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menerima 145,712 permohonan Rumah Selangorku.

Kerajaan Negeri mempelbagaikan jenis rumah daripada yang berharga RM42,000 hingga RM250,000, bagi memberi lebih pilihan kepada rakyat, terutama mereka berpendapatan rendah.

Iskandar berkata, Kerajaan Negeri bagaimanapun dapati masih ramai lagi tidak dapat melepasi syarat ketat bank bagi mendapatkan pinjaman perumahan.

Atas dasar itu, beliau berkata, pelbagai program baru dilancar khusus bagi memberi peluang buat golongan itu memiliki kediaman sendiri.

“Antaranya, kita lancar Skim Smart Sewa di mana mereka boleh sewa rumah dan di akhir kontrak, kita akan pulangkan balik apa yang mereka bayar sebanyak 30 peratus.

“Kita juga buat skim sewa beli di mana mereka boleh duduk di situ dan kemudian sebahagian daripada sewa dikira sebagai pembiayaan membeli rumah

“Apabila harga dibayar bersamaan dengan harga rumah, mereka akan dapat rumah berkenaan,” katanya.

 

Pembangunan fizikal dan spiritual diteruskan

Lebih RM110 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi menjayakan program pembangunan fizikal bagi pangsapuri di seluruh Selangor, sejak 2012.

Ia merangkumi RM88.9 juta menerusi Skim Baik Pulih Negeri Berkebajikan (Caring Government For Residents Improvement Aid-Ceria) dengan 248 projek.

Sejumlah RM30 juta pula diperuntuk bagi Program Smart Life (Smart Lift Improvement for Quality Life) iaitu bagi menampung kerja membaik pulih 112 unit lif di 24 pangsapuri dan bayaran fee kepada firma kompeten bagi kontrak penyenggaraan lif komprehensif di 88 unit lif di 21 pangsapuri.

Peruntukan lain termasuk, RM0.25 juta untuk program K-STAC (Sistem Tadbir Urus Akaun) menerusi projek perintis di 25 Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body-JMB) pangsapuri kos rendah.

Pangsapuri Seri Perantau pula dipilih sebagai projek perintis K-SQUAD (Pemberdayaan Komuniti) melibatkan peruntukan RM0.12 juta.

Ia bagi memperkasa keupayaan komuniti miskin bandar mengurus bangunan dengan kemampunan menubuhkan JMB, pengurusan strategik dan menjadi model contoh kepada komuniti pangsapuri bermasalah.

Sejumlah RM0.08 juta turut dibelanja untuk program Laman Hijau bagi aktiviti kebun komuniti di pangsapuri.

Program lain termasuk SKORA (Skim Pengenalan Pengurusan Bangunan Strata), K-STAR (Penarafan Komuniti Bestari), FOKUS (Format Kurikulum Pengurusan Bangunan Strata) dan K-KLIK (Kelab Interaktif Komuniti).

 

Komuniti diperkasa

Sebanyak 234 pangsapuri dibiayai bagi menerima manfaat program SAFWA (Selangor Free Water Apartment); pemberian rebat air percuma kepada pangsapuri kos rendah, dengan peruntukan RM39.8 juta.

Sejumlah RM2.7 juta pula diberikan menerusi projek PERMAI CERIA iaitu bantuan kewangan untuk baik pulih tetiang meter individu kediaman menerusi 33 projek.

Kerajaan Negeri turut memperkenal insentif bantuan kewangan kepada 85 pangsapuri kos rendah, SEROJA (Skim Keselamatan Kejiranan Pangsapuri) dengan peruntukan RM0.4 juta.

Program lain termasuk Kempen Pengurangan Sisa Pepejal dan Selangor BEST Bring Excellence Into Society) bagi mewujudkan masyarakat berilmu.

=EZY=


Pengarang :