Selangorkini
NASIONAL

”Saya ke China cari Jho Low”

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 27 OKT : Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan lawatan delegasi Selangor ke China bukan bertujuan menjual negeri, sebagaimana dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sebaliknya, Mohamed Azmin secara sinis di Twitter berkata, lawatan Kerajaan Selangor ke negara itu diadakan bagi ‘mencari usahawan’ yang dikaitkan dengan skandal kewangan Najib, Jho Low.

“Wahai Najib Razak, saya ke China mencari Jho Low. Ha ha ha,” tulisnya.

Sebelumnya, Perdana Menteri dalam cadangan pembentangan Bajet 2018 di Dewan Rakyat menyindir kononnya lawatan Kerajaan Selangor dibuat bertujuan untuk menjual negeri kepada pelabur luar.

Kenyataan sama turut dilemparkan Najib kepada Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang atas lawatan delegasi negeri itu ke Amerika, baru-baru ini.

Bagaimanapun, menafikan dakwaan itu, Guan Eng berkata, lawatan dibuat atas dasar pelaburan negeri.

“Saya ke China minta pelaburan, bukan macam Najib Razak, bagi USD 4B KWSP. Syukur Pulau Penang nombor 1 dalam pelaburan untuk 6 bulan pertama sebanyak RM7.7B,” tulisnya di Twitter.

Terdahulu, Perdana Menteri mencadangkan peruntukan RM280.25 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan dalam Bajet 2018 yang didakwa bertujuan untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Ketika membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat di sini, Najib yang juga menteri kewangan berkata sebanyak RM234.25 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus manakala RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.


Pengarang :