SELANGOR

Selangor ‘gentleman’ lulus projek Persekutuan

OLEH LIZAWATI MADFA

GOMBAK, 26 OKT: Dakwaan Kerajaan Negeri sengaja bermain politik dan melengahkan usaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membina rumah mampu milik, di Selangor adalah tidak benar.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, Kerajaan Negeri sentiasa bersikap terbuka asalkan projek dijalankan membawa manfaat langsung kepada rakyat.

Katanya, pihak berkenaan juga sepatutnya menyemak dahulu rekod sebelum melemparkan tuduhan tidak berasas.

“Sudah banyak projek KPKT kita luluskan dan baru sebentar tadi kita luluskan projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia, sebelum ini projek Perumahan Rakyat 1Malaysia.

“Walaupun kita diserang saban hari tetapi kita tidak berdendam dan masih meluluskan projek mereka kerana Selangor ‘gentleman’,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail mendakwa Kerajaan Negeri sengaja mensabotaj usaha KPKT membina 51,000 unit rumah, di Selangor.

“Kerajaan Negeri juga mungkin takut jika KPKT lebih menonjol dalam membantu rakyat memiliki rumah mampu milik.

“Terlalu banyak dolak-dalik diberikan Kerajaan Negeri seolah sengaja mahu melambatkan kelulusan terhadap usaha Kerajaan Persekutuan,” katanya.


Pengarang :