Selangorkini
SELANGOR

Sudahlah Noh Omar, carilah isu lain

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 OKT: Kenyataan Tan Sri Noh Omar kononnya Kerajaan Negeri berdiam diri dalam isu pendudukan bawah talian Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Paya Jaras adalah tidak benar.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) sudahpun mengarahkan tiada sebarang perobohan rumah boleh dilakukan sehingga sesi rundingan dan tawaran selesai.

Katanya, beliau bersama penduduk turut hadir ketika arahan itu dikeluarkan dalam MTES.

“Saya tidak tahu mengapa Umno dan Noh Omar tiba-tiba nak main isu ini sedangkan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sudahpun mengarahkan MTES mengambil langkah sewajarnya.

“Terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar yang selalu memberi perhatian kepada isu dibangkitkan ADN Paya Jaras,” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Khairuddin berkata, Noh selaku Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sepatutnya menumpukan kepada isu lebih penting dan tidak menangguk di air keruh.

“Cari lah isu lain yang munasabah. Sudah 50 tahun Umno memerintah Selangor, kenapa dulu tak bantu rakyat-rakyat ini,” katanya.

Semalam, Noh mendakwa Kerajaan Negeri dan ADN Paya Jaras gagal menangani isu pendudukan bawah TNB itu sehingga menjejaskan nasib 59 penduduk.

Katanya, TNB sekadar menawarkan pampasan RM15,000 sementara Kerajaan Negeri masih berbolak balik berhubung pemberian tanah gantian untuk kediaman baru.

KPKT dilapor menawarkan kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada 59 keluarga yang menetap di tanah milik TNB itu.

=EZY=


Pengarang :