Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

Teks Ucapan Belanjawan Alternatif 2018 Pakatan

DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
25 OKTOBER 2017
DEWAN SEMINAR, BANGUNAN SEMENTARA

 

Alhamdulillahi Rabbil A’lamin, wabihi nasta’in Allah yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Pemilik kerajaan segala di langit, di bumi dan yang wujud diantaranya.

Selawat serta Salam ke atas Junjungan Baginda Nabi Muhammad S.A.W pembawa rahmat seluruh alam serta tauladan untuk disanjungi.

MUQADDIMAH

Yang dihormati Saudara Pengerusi Majlis. Yang dihormati saf pimpinan KEADILAN, DAP, AMANAH dan PPBM. Yang Berhormat Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan, Adun-adun Pakatan Harapan, tuan-tuan, puan-puan dan wakil media sekalian.

Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada pasukan petugas Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan 2018 yang dipimpin bersama oleh YB Wong Chen dari KEADILAN, YB Dr Ong Kian Ming dari DAP, Dr Dzulkefly Ahmad dari AMANAH dan Dr Rais Hussin dari PPBM.

Saudara-saudari yang dikasihi,

Terlebih dahulu saya mengajak agar bermuhasabah diri dengan peringatan Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 7.

“ ….supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu..”

Ayat ini merupakan penegasan dan tuntutan dalam kerangka perjuangan menegakkan prinsip keadilan sosial dan pembangunan yang saksama menerusi pengagihan yang adil di antara sesama manusia dan juga menerusi pembinaan upaya institusi pemerintahan yang manusiawi dengan dasar politik dan ekonomi yang substantif dan inklusif. Ayat ini juga mengajak umat untuk menutup jurang kaya miskin dalam masyarakat tanpa mengira warna kulit, bangsa dan agama.

Pada hari ini, Pakatan Harapan membentangkan Belanjawan Alternatif 2018 dengan bertemakan ‘Belanja Berhemah, Potong Cukai, Pilih Harapan’.

 

1. Pembentangan Belanjawan Alternatif ini adalah kesinambungan gagasan kesatuan pemikiran hasil wacana pimpinan PAKATAN HARAPAN dalam kerangka keberanian dan keupayaan kami bagi menggantikan dasar-dasar usang lagi lapuk dengan agenda ekonomi yang baru dan segar bagi menyelamat dan memulihkan negara daripada kepincangan dasar-dasar ekonomi dan kewangan negara dibawah UMNO-Barisan Nasional.

2. Kita memulakan usaha pembentangan Belanjawan Alternatif ini pada tahun 2011, semenjak dipimpin oleh mantan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

3. Selama 8 tahun berturut-turut, kita kekal beriltizam menyedia dan membentangkan sebuah belanjawan alternatif pihak pembangkang yang merupakan penerusan amalan yang tidak pernah berlaku sebelumnya (unprecedented) dalam dunia demokrasi khasnya bagi negara-negara Komanwel.

4. Belanjawan Alternatif 2018 ini bertindak sebagai satu peringatan kepada UMNO-BN bahawa kami Pakatan Harapan lebih bersedia dengan idea-idea fiskal, kewangan dan ekonomi yang jauh lebih baik bagi mengurus dan membangunkan Malaysia.

5. Sesungguhnya, kami percaya kejayaan masa depan Malaysia bergantung kepada persaingan idea serta dasar yang aktif dan terbuka. Mempunyai garis panduan yang jelas terhadap semua dasar pemulihan dan penambahbaikan amalan tadbir urus yang baik serta reformasi menyeluruh terhadap sistem politik dan ekonomi negara.

6. Dokumen Belanjawan Alternatif 2018 ini menggariskan strategi dan tindakan jangka pendek yang perlu diberi tumpuan, ianya menjadi asas Pakatan Harapan berperanan aktif di dalam perbahasan Dewan Rakyat yang sedang bersidang.

7. Dokumen ini juga merupakan kritikan dan tawaran penyelesaian terhadap amalan bobrok dan kepincangan pengurusan ekonomi serta kewangan negara dibawah UMNO-BN pimpinan Dato’ Sri Najib Razak.

8. Dibawah pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak, negara terus terjerumus kedalam kegawatan ekonomi, kenaikan kos sara hidup rakyat, upah buruh dan gaji pekerja yang rendah, pengangguran anak muda yang tinggi, rasuah yang menggunung; diburukkan lagi dengan persekitaran politik yang tidak menentu.

9. Kita juga menyaksikan penindasan politik, ketegangan agama dan kaum dengan sikap tidak bertoleransi masyarakat serta gagalnya semangat intergrasi nasional yang diusahakan oleh kepimpinan negara terdahulu dan ini semua adalah berpunca dari kegagalan dan kelemahan kepimpinan Dato’ Sri Najib Razak.

10.Justeru itu saya ingin menegaskan bahawa Pakatan Harapan menentang keras politik yang memperalatkan perkauman dan agama oleh mana-mana pihak dan kumpulan. Saya menyeru rakyat tidak terperangkap dalam permainan dan adu domba sebegini yang cuba mengalih perhatian dan tumpuan rakyat daripada permasalahan kritikal yang melanda negara.

11.Kita harus sedar betapa percubaan demi percubaan dilakukan oleh kepimpinan negara dibawah Dato’ Sri Najib untuk menutup kemusnahan ekonomi Malaysia akibat daripada amalan kleptokrasi, rasuah, ketirisan, pembaziran, salah guna kuasa, penyiasatan terpilih, pendakwaan terpilih dan terhakisnya demokrasi berparlimen.

Saudara-saudari yang dihormati,

12.Belanjawan Pakatan Harapan kali ini berfungsi sebagai dasar fiskal, kewangan, dan ekonomi alternatif kepada belanjawan UMNO-BN yang akan dibentangkan pada Jumaat nanti. Dokumen ini mempunyai dua tujuan: Pertama, sebagai dokumen fiskal untuk tahun 2018; dan Kedua, sebagai sebahagian daripada manifesto ekonomi Pakatan Harapan menjurus kepada Pilihan Raya Umum ke 14.

13.Antara langkah-langkah utama yang akan diambil oleh Pakatan Harapan adalah; pertama, bertekad menghapuskan rasuah dan pembaziran. Langkah ini dijangka akan menyelamatkan dana awam yang dianggarkan sebanyak RM20 bilion.

14.Kejayaan menyelamatkan dana awam daripada ketirisan dan rasuah ini bergantung kepada upaya, komitmen dan kesungguhan penjawat awam dalam usaha pembenterasan rasuah. Justeru Pakatan Harapan akan menerapkan dasar tatakelola dan urus tadbir yang terbaik serta mengangkat martabat dan kewibawaan perkhidmatan awam sebagai pasukan barisan hadapan pentadbiran negara.

15.Hasil daripada penjimatan ini ianya akan dimanfaatkan bagi meningkatkan pendapatan kakitangan perkhidmatan awam melalui anugerah kerja berintegriti, dengan pemberian bonus selain daripada insentif khas yang akan diberi pada musim-musim perayaan menurut kadar yang sewajarnya.

16.Kedua, GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) yang merupakan cukai regresif yang mengakibatkan peningkatan kos mendadak secara kumulatif dan akhirnya memberi kesan bebanan hidup secara langsung kepada rakyat tanpa terkecuali. Kalau dulu cukai hanya untuk golongan yang layak dicukai sahaja tetapi dengan GST tiada yang terkecuali termasuk golongan fakir miskin penerima zakat.

17.GST juga merupakan antara punca utama kenaikan kos sara hidup rakyat selain kenaikan caj tol serta harga petrol dan diesel. Akibatnya harga barangan dan perkhidmatan naik melambung yang membebankan rakyat khasnya golongan berpendapatan rendah.

18.Maka dengan itu Pakatan Harapan mencadangkan didalam belanjawan alternatif 2018 ini, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dihapuskan.

19.Ketiga, kerajaan Pakatan Harapan juga akan menghapuskan tol jalanraya di Malaysia. Penghapusan tol ini akan dilaksanakan menerusi pembelian balik konsesi oleh kerajaan Pakatan Harapan secara berperingkat.

20.Penghapusan tol ini juga mengurangkan bebanan kos pengangkutan rakyat. Sekaligus mengurangkan bebanan perbelanjaan rakyat.

21.Keempat, kerajaan Pakatan Harapan bersetuju untuk meningkatkan kadar royalti minyak di negeri Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak pada kadar 20 peratus.

22.Langkah ini akan meningkatkan hasil negeri. Justeru, melalui peningkatan hasil ini ianya dapat dimanfaatkan oleh negeri-negeri berkenaan bagi merangsang pembangunan negeri yang kebetulan tersenarai antara negeri-negeri yang mencatatkan kadar kemiskinan tertinggi walaupun bumi kaya dengan minyak.

23.Ketidakadilan ini akan dihentikan segera tanpa diskriminasi politik demi kepentingan rakyat terbanyak.

24.Kelima, Pakatan Harapan juga memberi jaminan bahawa pendidikan awam adalah percuma kepada semua rakyat Malaysia yang berkelayakan merangkumi universiti awam. Kami juga akan memastikan persekitaran dan prasarana institusi pendidikan tinggi, menengah dan rendah adalah yang terbaik serta bebas daripada sebarang diskriminasi dan manipulasi politik kepartian.

25.Sekaligus ini akan membina suasana pengajian yang kondusif bagi membentuk generasi Malaysia yang terdidik dan berfikiran kelas dunia setanding negara-negara maju di dunia.

Saudara-saudari yang dikasihi,

26.Saya ingin menegaskan keazaman Pakatan Harapan bahawa dokumen Belanjawan Alternatif 2018 ini akan menjadi dokumen terakhir atas sifat Pakatan Harapan sebagai entiti pembangkang. Kami berazam dan berkeyakinan untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 dengan menumbangkan Barisan Nasional pimpinan Dato’ Sri Najib, InsyaAllah.

27. Justeru itu kami akan bekerja keras menyakinkan rakyat untuk membuat pilihan yang tepat dan terbaik dalam Pilihan Raya Umum ke 14 akan datang agar Belanjawan Alternatif 2018 ini akan menjadi pembentangan terakhir Pakatan Harapan sebagai pembangkang. InsyaAllah selepas PRU14 ini, Pakatan Harapan akan membentangkan Belanjawan Kerajaan Pakatan Harapan dengan mandat sebagai Kerajaan Persekutuan yang baru.

28.Kita akan membina semula negara dalam kerangka membangunkan Malaysia baru yang merealisasikan potensi rakyat dan negara. Membentuk dasar, matlamat dan pendekatan perancangan ekonomi berlandaskan prinsip pengagihan kemakmuran dan kekayaan negara secara adil dan saksama.

29.Pakatan Harapan juga bertekad untuk membangun masa depan negara berasaskan prinsip maqasid syariah menerusi keadilan sosial dan pembangunan yang seimbang.

30. Akhirul kalam, saya mengajak rakyat menyokong dasar-dasar yang digariskan dalam Belanjawan Alternatif 2018 ini bagi membina semula negara Malaysia yang adil, makmur dan sejahtera.

31. Saya yakin penggarapan dasar dan nilai yang dibentangkan menerusi Belanjawan Alternatif ini akan membawa natijah menjadikan Malaysia sebagai negara yang lebih baik, lebih adil, dan lebih saksama bagi semua rakyatnya. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan 2018.

Sekian, terima kasih.


Pengarang :