Selangorkini
NASIONAL

TMJ: Tutup sahaja Kosmo, Utusan Melayu

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 OKT: Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menyelar Kosmo yang disifatnya cuba melagakan orang ramai dengan laporan berita gosip murahan.

Sehubungan itu, Tunku Ismail menasihatkan kerajaan menutup sahaja akhbar milik Utusan Melayu (M) Berhad itu daripada membazirkan wang rakyat dengan penyiaran berita sebegitu.

“Satu jam lebih punya dialog saya bercakap mengenai bola sepak dan isu-isu semasa, tetapi ayat gurauan yang terakhir saya selama 20 saat itulah yang menjadi tumpuan sekarang.

“Inilah salah satu sebab mengapa saya dah tak baca surat khabar dalam negara ini kerana sikap terdesak ingin menjual surat khabar dan menulis berita seperti di majalah gosip,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan menerusi Facebook Johor Southern Tigers.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu berkata demikian dipercayai merujuk laporan berita Kosmo bertajuk ‘Tunku Ismail guris hati peminat’.

Dalam laporan Kosmo menyatakan peminat bola sepak tanah air terguris dengan kenyataan Presiden FAM itu yang secara sinis menganggap skuad bola sepak kebangsaan sebagai ‘bukan pasukan negaranya’.

Malam kelmarin berlangsung sesi dialog antara Tunku Ismail bersama wakil media di JDT Cafe dan antara perbincangan dilaporkan akhbar itu dipercayai titahnya: “Pasukan negara anda semua, not my negara (bukan negara saya). I’m from Johor, you know (Saya berasal dari Johor, anda tahu).”

Tunku Ismail seterusnya menjelaskan apa dinyatakan itu menggambarkan tahap mentaliti bangsa Melayu di sesetengah tempat di Malaysia.

“Berjuta-juta duit setiap bulan diberikan kepada Kosmo yang terletak di bawah Utusan tetapi kerja hanya ingin melaga-lagakan orang sahaja dan tulis berita macam gosip murahan.

“Nasihat saya kepada kerajaan, lebih baik anda tutup sahajalah syarikat surat khabar tersebut daripada membazir duit rakyat,” katanya.

Katanya, pihaknya berkuasa juga dicadang bertindak cepat meningkatkan sistem pelajaran dengan perhatian diberi kepada tiga perkara iaitu kurang pendidikan, rasuah dan ‘extremism’.

“Jikalau ia berlarutan, gelap masa depan anak cucu cicit kita.” katanya.

 


Pengarang :