Selangorkini
GLOBAL NASIONAL

Wartawan maut selepas kerja lebih masa 159 jam

TOKYO, 6 OKT: Penyiar awam Jepun berjanji untuk memperbaharui amalan kerja mereka selepas seorang wartawan muda maut ekoran kegagalan jantung selepas melakukan kerja lebih masa selama 159 jam, dalam tempoh sebulan, lapor AFP.

Wartawan NHK, Miwa Sado, 31, yang membuat liputan berita politik di Tokyo, didapati maut di atas katilnya pada Julai 2013, dalam keadaan memeluk telefon bimbitnya.

Setahun kemudian, pihak berkuasa Jepun berkata, kematiannya dikaitkan dengan tempoh kerja berlebihan.

NHK akhirnya mendedahkan kes itu empat tahun kemudian, selepas mendapat tekanan daripada ibu bapa Sado untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

Kes itu sekali lagi menyoroti masalah di Jepun yang terkenal dengan kerja keras atau melebihi masa yang menyebabkan banyak kematian berlaku dalam kalangan rakyatnya.

Kejadian terbabit menjadi satu tamparan buat NHK untuk melawan budaya kerja lama yang diamalkan di negara itu dan berjanji memperbaiki waktu kerja di bahagian penyiaran.

Agensi berita terbabit sebelum ini aktif melaporkan kematian tragis di syarikat lain, termasuk pembunuhan seorang wanita muda, di agensi pengiklanan utama Dentsu, pada 2015 selepas bekerja lebih 100 jam selama sebulan.

“Kami mohon maaf atas kehilangan seorang wartawan yang sangat baik dan mengambil serius kematiannya ekoran kerja berlebihan,” kata Presiden, Ryoichi Ueda.


Pengarang :