Selangorkini
SELANGOR

Yayasan IJN alu kerjasama pelbagai pihak bantu pesakit jantung

OLEH HAFIZAN TAIB

KAPAR, 7 OKT: Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) mengalu-alukan kerjasama pihak korporat dan organisasi lain dalam membantu membiayai kos rawatan atau pembedahan pesakit jantung di IJN.

Pengerusinya, Toh Puan Dr Aishah Ong, berkata Yayasan IJN memerlukan lebih kurang RM4.5 juta setahun bagi tujuan itu dan sumbangan dihulurkan begitu bermakna dalam menjayakan misi yayasan bagi membantu golongan memerlukan.

“Kita berbesar hati dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang menyumbang bagi membantu Yayasan IJN pada tahun ini.

“Pada tahun lalu, PKNS juga memberi sumbangan sama di mana ia menampung sebahagian kos keseluruhan bagi membantu rawatan atau pembedahan sejumlah 157 pesakit kurang berkemampuan,” katanya kepada media.

JantungBeliau berkata demkian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan PKNS kepada Yayasan IJN dan Program Kesedaran Jantung “100% Sayangi Jantungku” sempena ulang tahun ke 22 Yayasan IJN di Kampung Sungai Serdang, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Ketua Pegawai Korporat PKNS, Siti Zubaidah Abdul Jabar menyerahkan sumbangan RM100,000 kepada Dr Aishah Ong dan disertai Exco Kerajaan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Sementa, Dr Daroyah Alwi.

Dr Aishah Ong berkata, selain daripada membantu membiayai kos rawatan dan pembedahan di IJN, pihaknya juga memberi bantuan terhadap usaha pakar perubatan di IJN bagi membuat penyelidikan sehingga institut itu berkembang juga mencapai kemajuan membanggakan dalam tempoh 25 tahun.

Katanya, kira-kira 30 peratus daripada pesakit jantung yang mendapatkan rawatan atau pembedahan di IJN adalah golongan mereka yang kurang berkemampuan.

“Mereka ini yang kita bantu iaitu terdiri daripada bukan penjawat awam, bekerja sendiri, ibu tunggal dan sebagainya serta kebanyakannya tidak dilndungi insurans,” katanya.

Dengan kerjasama pihak korporat, katanya, pihak juga dapat menyediakan kemudahan penginapan di IJN untuk kaum keluarga pesakit, yang perlu ditemani selain baucar makanan bagi mereka memerlukan.

Selain PKNS, beliau berkata, Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut membantu RM150,000 dan dengan persetujuan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, wang itu boleh diagihkan kepada asnaf di negeri lain, yang perlu dibantu.

=EZY=


Pengarang :