Selangorkini
SELANGOR

11 kereta menggelongsor jatuh, punca ‘hydrostatic pressure’

OLEH SHEEDA FATHIL

SERI KEMBANGAN, 22 NOV : Kejadian tanah runtuh membabitkan 11 kenderaan menggelongsor jatuh di sini mungkin berpunca daripada ‘hydrostatic pressure’.

Timbalan Pengarah Korporat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Azfarizal Abdul Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk sekitar dan Unit Pengurusan Bencana Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri kira-kira jam 6.45 petang (Isnin) berkenaan kejadian itu.

“Pada pemerhatian awal, kami syaki kejadian berpunca daripada ‘hydrostatic pressure’ yang mungkin terdapat aliran air namun belum dapat dipastikan sama ada ia daripada paip utiliti atau penyambungan bekalan dilakukan secara haram.

“Tindakan jangka pendek akan dilakukan dengan mengeluarkan semua 11 kenderaan bagi mengurangkan bebanan mendapan tanah,” katanya.

Beliau berkata pada Sidang Media kawasan tanah runtuh di Jalan 1 A/2 Taman Lestari Perdana, Seri Kembangan, di sini, semalam.

Sementara itu, Azfarizal berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian terbabit.

“Walau bagaimanapun, premis bangunan yang terletak hampir 20 meter dari lokasi kejadian ini masih selamat dihuni dan arahan pengosongan belum dikeluarkan.

“Malah 11 kenderaan yang menggelongsor jatuh ini dilaporkan kenderaan lama yang tersadai dan setakat ini dua pemilik sahaja datang untuk menuntut selain sembilan lagi belum ada pemilik, katanya.

Azfarizal berkata, sebarang perkembangan akan diberitahu dari semasa ke semasa serta mesyuarat khas diadakan nanti bersama agensi terbabit bagi mengenal pasti punca dan langkah yang perlu diambil.

Terdahulu, difahamkan 11 kenderaan menggelongsor selepas berlaku rekahan jalan dalam kejadian tanah runtuh di Jalan 1A/2 Taman Lestari Perdana yang berlaku sekitar jam 6.20 petang, Isnin.

SelangorKini difahamkan, sehingga kini agensi terbabit giat menjalankan kerja pembersihan dan kanvas dipasang bagi tujuan keselamatan sementara.

=EZY=


Pengarang :