Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

80% penerima HIJRAH mampu bayar semula pinjaman

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 10 NOV: Sebanyak 80 peratus penerima Program HIJRAH mampu membayar kembali pinjaman yang dilakukan, sekali gus menunjukkan program terbabit berjaya dilaksanakan kepada golongan usahawaan, di Selangor.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, ia kesan positif kepada usahawan dan ada antara mereka mampu membayar serta meminjam semula untuk meneruskan perniagaan.

“Ini berdasarkan kajian dilakukan pada tahun 2016 di kawasan Sabak Bernam dan Sungai Besar dengan 80.4 peratus peserta HIJRAH merasakan pinjaman itu mampu menghapuskan pinjaman serta hutang bagi petani serta nelayan, sekali gus menunjukkan kesan sangat positif.

“Dalam kajian itu, 8283 peserta selesai membayar semula pada pusingan pertama, manakala 6975 peserta sudah membuat pinjaman ulangan dalam nilai besar dan 1307 peminjam lagi peminjam tidak membuat pinjaman semula.

“Ia menunjukkan ramai peserta sangat berpuas hati dan gembira dengan pelaksanaan Program HIJRAH ini,” katanya.

Pada masa sama, Amiruddin berkata, terdapat lapan kayu ukur “benchmark” yang dilakukan bagi menilai kejayaan usahawan yang mendapat pinjaman.

“Antaranya ialah mampu menyelesaikan bayaran balik pinjaman dalam tempoh ditetapkan, peningkatan pendapatan perniagaan, penambahan aset perniagaan, perkembangan taraf pendidikan diri dan keluarga serta perkembangan perniagaan melalui media sosial,” katanya.

Amiruddin berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan pada sidang Dewan Negeri Selangor, pagi ini.

Bagi menjawab soalan ADN Batu Tiga, Rodziah Ismail, Amiruddin berkata, HIJRAH sudah boleh berfungsi sebagai institusi komprehensif dalam program pembangunan usahawan, namun memerlukan sedikit masa dan pelarasan untuk menganalisa dan mengkaji dasar program terbabit, sekali gus berfungsi sebagai pusat rujukan usahawan.

Amiruddin berkata, bagi akhir tahun ini juga, kira-kira 10,000 hingga 50,000 penerima HIJRAH akan diberikan satu program peningkatan keusahawanan selain memilih peserta terbaik yang cemerlang dalam perniagaan dalam langkah memperkasakan dan memberdayakan mereka.


Pengarang :