BERITA UTAMA SELANGOR

ADN pembangkang puji komitmen Kerajaan Negeri bantu petani

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 NOV : Ahli Dewan Negeri (ADN) Barisan Nasional Sungai Burong, Dato’ Mohd Shamsudin Lias memuji komitmen pentadbiran negeri memperkenalkan skim khusus insurans kepada petani dan pesawah seluruh negeri.

Beliau berkata, pelaksanaan Skim Insuran Pesawah diumumkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dalam Belanjawan 2018 lalu itu memberi manfaat besar buat petani.

“Sebagai seorang yang lahir sebagai anak tadi, saya rakamkan terima kasih atas kelulusan untuk memberikan (skim ini) terhadap pesawah yang membanting tulang yang mengeluarkan peluh untuk menghasilkan padi.

“Mereka telah diberikan pembelaan, walaupun di peringkat Persekutuan ada (juga) bantuan disalurkan dan Kerajaan Negeri turut memperkenalkan insurans, jelas golongan ini dapat bantuan apabila mereka turut diinsurankan,” katanya ketika berbahas di Dewan Negeri Selangor (DNS) petang ini.

Bagaimanapun katanya, pelaksanaan skim berkenaan perlu diperluas bagi membolehkan golongan nelayan negeri turut menerima manfaat sama untuk tempoh akan datang.

Terdahulu, Kerajaan Negeri turut memfokuskan tanggungjawab berkebajikan untuk membantu pesawah seluruh negeri, menerusi pengumuman Skim Insuran Pesawah secara percuma.

Pelaksanaannya melibatkan 10,000 petani dengan peruntukan RM3 juta.

Melalui skim berkenaan, pesawah akan menerima manfaat perubatan, perlindungan akibat hilang upaya kekal atau menyeluruh dan juga infaq kematian.


Pengarang :