Selangorkini
SELANGOR

ADN perlu faham format, jangan terus tinggalkan DNS

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 NOV: Semua Ahli Dewan Negeri (ADN) dinasihatkan supaya tidak meninggalkan dewan jika usul ditolak sebaliknya memahami peraturan mesyuarat dan kekal menyertai persidangan kerana masih banyak ruang untuk berbahas.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh berkata, ADN perlu memahami format persidangan bukan keluar bertemu media dengan memberikan kenyataan yang boleh mengelirukan ramai.

“Saya beri contoh ADN Permatang, (Datuk Sulaiman Abdul Razak) beliau membawa usul menggesa Kerajaan Negeri memperkasakan institusi Mahkamah Syariah daripada segi infrastruktur dan tenaga kerja.

“Saya menolak kerana kita ada ruang untuk bahas tanpa perlu bawa satu usul khas. Kalau kita lihat mereka tidak hadir dan apabila di luar mereka kata ‘Speaker DAP anti-syariah’ tak bagi mereka bahas.

“Saya komen penolakan berdasarkan format kena betul. Ada ruang dan masa sepenuhnya. Saya rasa ADN kena hadir sepanjang masa kerana ada ruang perbahasan dalam dewan,” katanya selepas persidangan DNS ditangguhkan, sehingga esok.

Katanya, tindakan ADN keluar meninggalkan sesi persidangan DNS dan mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan tidak akan membantu meredakan suasana di luar terutama dengan keadaan hubungan antara kaum akibat penyebaran banyak berita palsu.

“Untuk sidang belanjawan banyak ruang perbahasan. Ketika Rang Undang-Undang Perbekalan, kita membahaskan semua agensi Kerajaan. Ruang terbuka untuk semua berdebat,” katanya.

Mengulas usul tergempar yang dikemukakan Datuk Abdul Shukor Idrus berkenaan kenyataan Tun Dr Mahathir berhubung isu Bugis perlu disiasat polis bukannya dibincangkan, di dalam DNS.

Katanya, Selangor hanya mempunyai 56 ADN dan tidak timbul soal tak mempunyai peluang berbahas memandangkan keadaan DNS yang kecil.

 


Pengarang :