Selangorkini
SELANGOR

Amalan kitar semula bantu kurang penghasilan sampah

OLEH SABIRAH AZIZ

PETALING JAYA, 30 NOV: Semua rumah di kawasan Seksyen 12, di sini perlu mengamalkan pembuangan sampah secara berasingan bagi mengurangkan penghasilan sampah di samping memelihara alam sekitar.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran berkata, setiap penduduk perlu memastikan sampah dibuang mengikut kategori bagi memudahkan proses kitar semula dilaksanakan di kawasan itu.

“Program kitar semula ini dilaksanakan setiap tiga kali seminggu bagi sampah yang tidak boleh dikitar semula dan dua kali seminggu bagi sampah yang boleh dikitar semula di kawasan ini.

“Sehubungan itu, kita akan mengasingkan sampah untuk dikitar semula bermula 4 Disember ini.

“Saya harap penduduk di kawasan ini berterusan menjalankan pengasingan sampah dalam aktiviti kitar semula ini yang dilihat banyak manfaatnya sekali gus dapat mengurangkan bilangan sampah,” katanya kepada Selangor Kini selepas menjayakan projek kitar semula di kawasan itu.

Rajiv berkata, pihaknya turut mengedarkan 600 risalah kepada setiap rumah untuk menggalakkan pelaksanaan program kitar semula di kawasan itu.

Turut hadir ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Lim Yi Wei.


Pengarang :