NASIONAL

BAJET 2018 gagal rungkai kelembapan tawaran rumah mampu milik

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 9 NOV: Kerajaan Persekutuan digesa memohon maaf kepada rakyat Malaysia di atas kegagalannya mengotakan janji menyediakan 1.1 juta rumah mampu milik seperti diumumkan ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, ia suatu yang mustahil untuk Kerajaan Persekutuan menepati janjinya apabila kini hanya 21 peratus sahaja projek perumahan itu dibangunkan.

“Setakat ini hanya 241, 575 rumah mampu milik dibina iaitu 21.3 peratus sahaja daripada sasaran. Manakala 634, 235 unit rumah mampu milik atau 57 peratus sedang dibina dan bakinya 22 peratus masih dalam perancangan.

“Dengan hanya berbaki kurang 10 bulan, suatu yang mustahil untuk kerajaan menepati janji 1.1 juta rumah mampu milik, ini kerana hanya 21 peratus yang tercapai. Walaupun ada yang sedang dibangunkan, sasaran itu masih lagi tersasar 22 peratus,” katanya merujuk kepada statistik terkini yang dibentangkan, di Parlimen.

Khalid dalam kenyataannya hari ini berkata, prestasi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) juga menunjukkan kegagalan sama sedangkan PR1MA seharusnya membina 500,000 rumah mampu milik menjelang 2018 sebelum PRU-14.

Katanya, setakat ini rumah mampu milik yang dibina adalah 9,791 bersamaan 1.9 peratus sahaja daripada sasaran asal iaitu masih berbaki 277,693 unit.

“Apabila janji 1.1 juta unit ini ditaburkan gagal mencapai sasaran, ia mengusarkan lagi keadaan yang berlaku dalam kelembapan penawaran perumahan mampu milik.

“Kekurangan unit rumah mampu milik di pasaran Malaysia menyebabkan implikasi buruk kepada rakyat antaranya kenaikan harga rumah mendadak, makin ramai tidak mampu memiliki rumah, peningkatan hutang isi rumah bagi golongan pertengahan M40 dan bakal menjadikan generasi akan datang yang ‘homeless’,” katanya.

Terdahulu, Khalid menerusi sidang Parlimen bertanya kepada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar berkenaan kedudukan terkini penyediaan 1.1 juta rumah mampu milik yang dijanjikan Barisan Nasional ketika PRU-13.

Katanya, kronologi janji itu bermula dengan sejuta rumah mampu milik dan diikuti pertambahan 100 ribu unit lagi menjadikannya 1.1 juta rumah yang dijanjikan.

Menurut Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2016, dianggarkan Malaysia sejak 2015 kekurangan 960,000 rumah mampu milik bagi melengkapi permintaan rakyat pertengahan berdasarkan jumlah isi rumah.

Malah, Khazanah Research Institut mendedahkan bahawa nilai hartanah di Malaysia masih lagi dimonopoli oleh rumah tidak mampu milik melebih RM300,000 dan ke atas.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, realiti pendapatan purata rakyat Malaysia masih lagi 50 peratus adalah berpendapatan RM2,000 dan ke bawah,

“Manakala 75 peratus pasaran perumahan dimonopoli rumah tidak mampu milik berharga RM300,000 dan ke atas menurut laporan tahunan suku ke-2 REHDA.

 


Pengarang :