Bantuan hampir RM1 juta untuk peserta AGROGEMS | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Norway

Wartawan

Hafizan Taib

Bantuan hampir RM1 juta untuk peserta AGROGEMS

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 14 NOV: Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan hampir RM1 juta kepada 65 peserta program Agro Generasi Muda Selangor (AGROGEMS) di Selangor, pada 2015 dan tahun lalu.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata bantuan keselurukan RM948,048 itu diberikan kepada 21 peserta pada 2015 dengan jumlah RM279,975 manakala 44 peserta pada tahun lalu dengan peruntukan RM668,123.


“Melalui pemantauan dilaksanakan jabatan berkaitan sehingga Julai lalu, menunjukkan pelaburan Kerajaan Negeri kepada peserta yang berjaya amat positif di mana kenaikan dari segi jumlah jualan tahunan melonjak 63 peratus berbanding sebelum menerima bantuan.

“Berdasarkan hasil positif melalui dapatan diperoleh, Kerajaan Negeri akan terus memberikan penekanan dan galakan serta mempertingkatkan lagi promosi program agar semua golongan generasi muda di Selangor yang terbabit di sektor pertanian dapat turut sama menyertainya pada masa depan,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata, AGROGEMS iaitu program dimulakan pada 2015 bertujuan memberikan galakan dan kesedaran kepada golongan generasi muda berusia di antara 18 hingga 40 tahun bagi menceburi sektor pertanian dan menjadikan ia sebagai sumber utama pendapatan.

Selain itu, katanya, ia juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada sektor pekerjaan yang semakin menguncup.

“Terdapat dua sasaran utama digariskan sebagai panduan pelaksanaan program iaitu golongan telah memulakan projek pertanian dan golongan berminat tetapi belum memulakannya disebabkan faktor kekurangan pengalaman dan ilmu pengetahuan serta tanah dan modal.

“Bagi melayakkan seseorang peserta AGROGEMS menerima bantuan Kerajaan Negeri, syarat utama adalah mereka telah memulakan projek sekurang-kurangnya setahun di atas tanah yang jelas statusnya.

“Jenis bantuan disediakan adalah berbentuk peralatan dan input pertanian serta baka bahan binaan di mana setiap bantuan diluluskan menerima tidak melebihi dari nilai RM30,000 untuk seorang pengusaha,” katanya.

Katanya, semua peserta yang menerima bantuan pada 2015 dan tahun lalu memenuhi syarat asas serta melepasi kelulusan lawat siasat Jabatan Pertanian Selangor, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor dan Jabatan Perikanan Selangor.

=EZY=

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next