Selangorkini
SELANGOR

Belanjawan Selangor merangkumi untuk semua golongan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 NOV: Belanjawan Selangor 2018 disifatkan menyentuh kepentingan semua lapisan masyarakat di negeri termaju itu.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin Dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau , berkata, tidak terkecuali adalah pekerja ladang yang majoritinya terdiri daripada masyarakat India.

“Saya percaya ramai gembira. Paling menggembirakan masyarakat Tamil adalah peruntukan untuk sekolah Tamil sebanyak RM5 juta dikekalkan dan RM1 juta untuk kaum Sikh untuk Gurdwara dan pendidikan untuk anak mereka.

“Begitu juga bantuan untuk bukan Islam seperti untuk agama Hindu dan bantuan untuk anak ladang ditingkatkan kepada RM1.3 juta di mana ini adalah usaha murni Kerajaan Negeri untuk membela nasib semua kaum India yang terpinggir khususnya warga ladang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2018 di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, semalam.

Selain itu, beliau juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memperuntukkan RM500,000 untuk pembangun pekerja ladang.

Sementara itu, Speaker DNS yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Hannah Yeoh, berkata projek pembangunan yang dicadangkan memberi manfaat kepada rakyat seperti projek tebatan banjir dan lain-lain.

Katanya, selain itu langkah mewujudkan Tabung Penyayang dengan peruntukan RM200,000 untuk setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) juga sangat dialu-alukan.

“Tabung penyayang ini saya lihat akan membantu ADN dalam banyak kes di mana pada masa sekarang ini sara hidup meningkat dan di Subang Jaya juga ada keluarga yang besar meminta bantuan makanan tetapi dengan adanya tabung penyayang ini dapat membantu kes seperti ini,” katanya.

Jelasnya, beliau juga amat gembira dengan langkah Kerajaan Negeri membantu golongan yang mengalami tekanan hidup melibatkan pelbagai golongan termasuk golongan pelajar institusi pengajian tinggi.

“Di Subang Jaya kita buat banyak program untuk mempromosikan kesihatan mental yang melibatkan generasi muda termasuk pelajar institusi pengajian tinggi yang banyak di Subang Jaya di mana ada di kalangan mereka mengalami tekanan hidup, masalah hubungan keluarga dan lain-lain,” katanya.

=EZY=


Pengarang :