NASIONAL

Berapa China bayar beli saham Proton?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Putrajaya didakwa gagal menyatakan perolehan kewangan sebenar diterima selepas pembelian 49.9 peratus saham PROTON oleh Syarikat Geely dari China, tahun lalu.

Justeru, Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong menuntut Kerajaan Persekutuan lebih telus dan mendedahkan nilai sebenar hasil pembelian saham itu.

“Sejak kerjasama itu dibuat dan walaupun banyak jawapan kebaikannya tetapi belum ada mana-mana pihak mendedahkan jumlah wang dibayar untuk perkongsian usahasama itu.

“Saya mahu kementerian memberi jawapan tepat kepada seluruh rakyat Malaysia. Kita jual saham tetapi tidak tahu berapa jumlah diterima.

“Kerajaan (Persekutuan) perlu lebih telus dan dedahkan nilai itu kepada rakyat selaku pembayar cukai di negara ini,” katanya pada sidang media, di Lobi Parlimen.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam jawapan bertulis memaklumkan, salah satu syarat pagi pinjaman mudah bernilai RM1.5 bilion yang diluluskan kerajaan kepada Proton adalah pada April 2016.

Ketetapan itu dibuat bagi memastikan Proton mendapat rakan kongsi strategik yang menyaksikan sahamnya dijual kepada Zhejiang Geely bagi pengambil alihan saham konglomerat DRB-Hicom, pemilik Proton.

Hasil pengambil alihan itu, Proton hanya akan menerima suntikan tunai RM170.3 juta dari Geely serta pemberian landasan model SUV terbaharu iaitu Boyue yang dianggarkan bernilai RM290 juta.

Bagaimanapun, kata Kok Seong, pendirian sebenar terhadap jumlah milikan sebenar sehingga kini masih belum dinyatakan secara telus, di peringkat Persekutuan.


Pengarang :