SASTERA

Ceritanah

OLEH AZRIN FAUZI

DENGAN nafas yang berat, adik beritahu aku tadi ibu telah tiada.[1] Masih ingat lagi sewaktu kami ghairah bermain tanah[2] di halaman teratak tok wan – pada waktu tiang-tiang terataknya masih lagi kelihatan tinggi – aku dan adik langsung tidak endahkan tok wan yang sedang terlantar di dalam. Tok wan cepat dahaga lalu ibu memberinya minum air daripada buyung yang besar perutnya itu di tepi katil. Malah sudah lupa terus kami akan ibu dan ayah. Yang kami ingat: hanya tanah. Betapa adik teruja mengepal-ngepal tanah coklat kehitaman yang lembik lagi liat itu. Sesekali terkeluar melalui celah-celah jarinya persis lintah yang melanting-lanting ingin bebas dari genggam kecilnya. Dapat kulihat juga tanah mula memenuhi dalam kukunya. Dan mula memenuhi dalam kukuku.

Sepertinya akan bergulat dengan tanah. Itupun tidak lama sebelum aku mengajak adik membuat istanah (kerana di halaman teratak tok wan tiada pasir untuk kami buat istana pasir). Sambil mencangkung, kami mula menguis-korek tanah dengan tangan. Ayam itik memandang aneh perlakuan kami. Dan desir daun-daun kelapa seakan berbisik dari atas. Tetapi matahari seolah langsung tidak menghiraukan kami. Diam-diam menggelongsor turun ke balik bukit. Bila saat senja memercikkan cahaya merahnya ke keringat keruh kami itulah aku beritahu adik, kita semua diciptakan daripada tanah. Daripada tanah kita datang dan kepada tanah kita kembali.[3]

Tangan adik terhenti daripada menempek segempal tanah ke atas istanahnya. Dapat kulihat istanahnya sudah tinggi menyenget persis Menara Babel. Dan dapat kulihat juga getar di bibirnya seperti mahu membebel. Tidak seperti aku, adik yang sepanjang waktunya di rumah tidak pernah renggang matanya dengan tivi, langsung membenamkan kenyataanku tadi ke dalam tanah. Katanya, yang diciptakan daripada tanah hanya Adam.

Hanya Adam.

Ingatanku langsung mengoleng-oleng atas pengamatanku yang tidaklah berapa luas dan dalam sebelum meluncur ke peristiwa malam itu – beberapa bulan sebelum adik hadir ke dunia. Ibu dan ayah membawaku ke kampung kerana ingin menjaga tok yang sudah tenat. Tok batuk-batuk sesampai kami tiga beranak di sana. Tok wan beritahu ayah sesuatu yang tidak dapat kutebak isinya. Ibu terus mendapatkan tok yang sedang terlantar lemah di atas katil di ruang tamu.

Dan tengah malam itu, kerana tidak dapat tidur dek nyamuk-nyamuk lapar, aku mahu mendapatkan tok dan tok wan. Belum pun sempat melangkah longlai ke ruang tamu, ada bingit-bingit kecil yang ditangkap telingaku – dari dapur. Langkah langsung lencong ke sana. Dan[4]

Ada rupa dan bentuk yang memadat pejal dalam kepalaku.[5] Usai bangkit daripada tidur keesokannya, aku ingat-ingat lupa akan apa yang keluar dari mulut tok antara cungap-mengahnya itu: “Adunan kena tepat… tangan kena lembut menguli… supaya adik cukup sifat… sempurna serba-serbi.” Mungkin begitulah yang mahu dititipkan kepada cucunya yang masih mamai pagi itu.

Ceritanah inilah yang kukisahkan kepada adik senja itu. Memang sukar untuk adik telan cerita ini. Sukar juga untuk aku luahkannya.

Ibu melaung-panggil kami naik-masuk ke dalam (sebelum marahamun kerana kami kotor bolor dengan tanah). Dari atas katil di ruang tamu, tok wan ingatkan kami agar jangan main lagi senja-senja begini, nanti kena sorok. Adik mengerling kepadaku. Dia masih tidak percaya. Langsung tidak percaya dengan ceritaku. Langsung tidak mahu percaya yang kita semua dijadikan daripada tanah. Kerana seperti katanya pada awal tadi, yang diciptakan daripada tanah hanya Adam. Lantas dia menerangkan kepadaku – barang kali daripada dokumentari yang ditontonnya di tivi – proses kejadian manusia dari A ke B ke C ke kromosom X dan Y sehinggalah apa-apa yang berakhir dengan Z.[6] Benar aku mengagumi akal celik adik. Dan benar kami tidak sempat menghadiri pengebumian jenazah tok wan.

Tetapi adik juga tidak mendapat ceritaku yang penuh kerana versi yang adik dengar ialah versi yang terhenti sewaktu ibu melaung-panggil kami naik-masuk. Adik tidak tahu, sehari setelah menitipkan kata-kata keramat itu, terus tok meninggal dunia. Dan aku masih ingat, dan aku mampu lihat, tatkala celik sahaja pada pagi itu, ibu dan ayah dan tok wan dan sanak saudara lain yang tidak kukenal masing-masing sedang menahan sebak di ruang tamu. Itupun sebelum ibu mula pecah tangis dan sanak saudara yang lain tadi langsung ikut meratap meraung sama…

…mengelilingi setimbun tanah di atas katil.[7]

*

[1]         Lama kutatap skrin telefon. Fikirku, mujurlah dibawa oleh ayah ke kampung, senang untuk diuruskan oleh sanak saudara. Aku percaya, pada waktu kereta api ini akan meluncur di dalam terowong dasar laut untuk ke pulau beberapa minit sahaja lagi, adik menerima segala apa yang terjadi di hadapan mata.

[2]         Kerana membesar di Kuala Lumpur, di mana setiap langkah kami berlegar di atas aspal, konkrit, simen dan segala jenis batuan lain, tanah sentiasa dianggap asing – tanah dianggap keramat.

[3]         Atau: “Daripada tanah kampung ini kita datang dan kepada tanah kampung ini kita kembali.”

[4]         aku nampak ibu dan ayah. Dalam suram, ibu sedang asyik menguli-ramas sesuatu yang meliat di dalam buyung. Sambil ayah menuangkan air sedikit demi sedikit ke dalamnya. Mereka tidak hiraukanku. Dan apabila kudatang dekat, mereka langsung tidak menyedari kehadiranku. Mereka berdua begitu asyik. Ibu asyik dengan uliannya. Dan ayah asyik dengan tuangannya.

[5]         Segala-galanya masih jernih. Sejernih air yang meliuk lentok ke dalam buyung. Membasahkan tangan gemalai ibu yang sedang ghairah menguli tanah.

 [6]         Atau cerita kejadian manusia memang tidak pernah tamat?

 [7]         Haruskah cerita ini kutamatkan? Aku mengeluarkan tiket yang belum ditebuk, menembuskan renungan ke arah destinasi: George Town. Aku merasakan perjalanan ini akan jadi perjalanan paling panjang sepanjang hidupku. Dan sewaktu kereta api mula menerobos laut dalam, kusumbat fon telinga, mainkan lagu dalam mod shuffle lantas Disintegration oleh The Cure pun mula berkecai dalam kepala.


Pengarang :