Denmark belasah Ireland 5-1 layak ke Piala Dunia | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Denmark belasah Ireland 5-1 layak ke Piala Dunia

GLOBAL 15 NOV: Denmark membelasah Ireland 5-1, dalam aksi kedua playoff sekali gus layak ke Piala Dunia di Rusia tahun depan.

Selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di Copenhagen, minggu lalu, Ireland memperoleh permulaan sempurna apabila tandukan Shane Duffy meletakkan mereka mendahului perlawanan seawal minit keenam, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Begitupun, Denmark membalasnya dengan dua gol sebelum babak pertama berakhir dan menjaringkan tiga lagi gol pada babak kedua untuk menempah tiket ke Russia, tahun depan.


Selepas 19 minit Ireland mendahului, Denmark meraih gol penyamaan, tetapi ironinya ia menerusi jaringan sendiri Cyrus Christie, susulan percubaan Andreas Christensen.

Kelebihan itu kemudian pantas digandakan oleh Eriksen, tiga minit kemudian selepas rembatan padunya gagal diselamatkan penjaga gol Ireland, Darren Randolph.

Memerlukan dua gol untuk ke Russia, jurulatih Ireland, Martin O’Neill membuat dua pertukaran pada rehat babak pertama dengan memasukkan Aiden McGeady dan Wes Hoolahan.

Begitupun, percaturannya tidak menjadi apabila Eriksen yang juga pemain Tottenham Hotspurs kemudian menambah dua lagi gol, bermula pada minit ke-63 sebelum melengkapkan hatrik, 10 minit kemudian.

Pemain gantian, Nicklas Bendtner melengkapkan kemenangan bergaya Denmark menerusi penalti selepas dia dijatuhkan James McClean pada minit ke-90.

Kekalahan itu menyaksikan O’Neill yang sudah pun bersetuju membimbing Ireland bagi kelayakan Euro 2020 berdepan kritikan, susulan tindakannya tidak menyenaraikan Hoolahan dalam kesebelasan utamanya.

Pemain berusia 35 tahun itu adalah antara tonggak Ireland yang menyinar dan menjadi satu daripada empat pemain yang dijangka akan bersara daripada pentas antarabangsa.

Kekalahan jelas satu lagi situasi mengecewakan buat Ireland yang tewas pada aksi playoff ketika Piala Dunia 2010 kepada Perancis.

=EZY=

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next