Selangorkini
SELANGOR

Dokumen lengkap lulus proses warta Tanah Kerajaan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 NOV: Pihak Berkuasa Negeri akan meluluskan pewartaan Tanah Kerajaan bagi pengurusan penempatan atau kawasan Orang Asal menerusi pemohonan lengkap yang dikemukakan Pejabat Tanah dan Daerah.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, proses kelulusan turut melibatkan permohonan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bersama pelan pra-hitungan yang disediakan Juruukur Berlesen.

“Setelah tanah diluluskan Mesyuarat Majalis Kerajaan Negeri (MMKN), perizaban diukur halus melalui pengeluaran Pelan Warta (PW) oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), pengisytiharan perizaban akan diwartakan dalam Warta Kerajaan Negeri Selangor.

“Proses itu akan mengambil tempoh masa lama sekiranya isu tanah dicadangkan untuk perwartaan tidak diselesaikan seperti isu pertindihan lot, pelan tanah yang dikemukakan tidak sempurna dan masalah dalam proses ukur halus untuk pengeluaran Pelan Warta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong di Dewan Negeri Selangor (DNS) yang mempersoal punca kelewatan proses pewartaan tanah kini.

Elizabeth berkata, dalam usaha untuk memantau proses pewartaan Kampung-Kampung Orang Asli, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor, mesyuarat penyelarasan pewartaan tanah rizab Orang Asli telah dijalankan.

Beliau berkata, ia melibatkan penyertaan Pejabat Exco, Unit Perancangan Ekonomi Bandar (UPEN), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD), pada 27 Oktober 2016.

“Dalam mesyuarat itu, dipersetujui bahawa JKOA akan kemukakan peta lengkap beberapa kampung dalam perancangan JKOA untuk diukur bagi tujuan pewartaan dan bakinya akan dibuat Kerajaan Negeri.

“Selepas tempoh masa hampir setajun JKOA hantar 37 permohonan kepada PTD-PTD pada 20 September 2017, sempena mesyuarat antara Pejabat Exco, PTGS, PTD, dan JKOA di Suruhanjaya Hak Asasi Kebangsaan Manusia (SUHAKAM) yang diadakan pada 28 September 2017 lalu,” katanya.


Pengarang :