Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Garis kemiskinan RM1,500 Selangor kekal

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 NOV: Kerajaan Negeri mengekalkan pendapatan RM1,500 sebagai paras garis kemiskinan masyarakat bandar dan luar bandar di negeri itu.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, Ganabatirau Veraman berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Kerajaan Negeri, September tahun lalu.

“Pendapatan garis kemiskinan yang digunapakai oleh semua jabatan dan agensi adalah berjumlah RM1500 terpakai bagi luar bandar dan bandar.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 40 yang bersetuju meletakkan paras garis kemiskinan itu dikekalkan pada kadar RM1500 seisi rumah.

“Paras kemiskinan ini dilihat realistik dan bersesuaian dengan senario ekonomi semasa berbanding garis paras nasional sebanyak RM900 mulai 2014 dan RM960 mulai 2016,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail di Dewan Negeri Selangor (DNS), pagi ini.

Terdahulu, model kajian pengukuran paras garis kemiskinan dijalankan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama The United Nations Development Programme.

Pelaksanaan kajian itu mengambil kita beberapa komponen utama iaitu keperluan makanan, keperluan bukan makanan dan isi rumah setiap keluarga.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan dalam usaha untuk mencapai keadilan sosial dan pengagihan yang adil, kemiskinan perlu dibasmi di negeri Selangor.

“Sebagai negeri termaju, Selangor tidak boleh menggunakan kriteria paras kemiskinan yang disediakan oleh Putrajaya.

“‘Oleh itu, Kerajaan Negeri telah menetapkan paras yang realistik dan bertanggungjawab iaitu RM1,500 sebagai garis kemiskinan di negeri Selangor,” katanya.

=EZY=


Pengarang :