General Electric buang 6,000 pekerja | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

General Electric buang 6,000 pekerja

NEW YORK 14 NOV: Syarikat gergasi bermasalah General Electric (GE) mengumumkan pelan penstrukturan semula besar-besaran termasuk memberhentikan ribuan pekerja.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu dilantik, John Flannery, memperkenalkan rancangan itu kepada pelabur di New York.

Beliau menyifatkan keadaan semasa yang genting kepada syarikat di tengah-tengah ia mengalami kejatuhan ketara dalam pendapatan, harga saham dan dakwaan banyak melakukan pembaziran korporat, selain tuduhan salah pengurusan.


Dengan permodalan pasaran menguncup lebih AS$100 bilion sejak Januari, pengeluar enjin jet dan turbin berusia 125 tahun itu dijangka menyaksikan asetnya berkurangan sekitar AS$20 bilion, penjualan sebahagian daripada perniagaan pengangkutan dan elektrik.

Justeru, kini memberi lebih tumpuan kepada penerbangan, penjagaan kesihatan dan tenaga.

Konglomerat itu juga mengurangkan dividen sukuan sebanyak separuh kepada 12 cent, selain akan mengurangkan kerusi lembaga pengarah kepada 12 daripada 18 bermula April.

Ketua Pegawai Kewangannya, Jamie Miller, berkata syarikat itu akan mengurangkan pekerja sebanyak 25 peratus.

Ketika ini ia memiliki sekitar 24,000 kakitangan, bermakna sekurang-kurangnya 6,000 akan kehilangan pekerjaan.

Bahagian tenaga GE Power, termasuk Alstom, akan melalui baik pulih besar-besaran bagi membolehkannya berhadapan perubahan dalam pasaran tenaga.

Flannery berkata, perniagaan tenaga Alstom, yang dibeli GE pada 2015 membabitkan pertimbangan tunai AS$13.5 bilion, pengambilalihan terbesar syarikat, adalah mengecewakan.

“Alstom jatuh di bawah jangkaan,” katanya.

GE juga akan mengurangkan kepentingan dalam syarikat perkhidmatan lapangan minyak Baker Hughes.

=EZY=

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next