Selangorkini
SELANGOR

Insiden baling bom semarak permusuhan kaum

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 23 NOV: Tindakan individu tertentu yang cuba membakar Surau Al-Huda, Damansara Damai, baru-baru ini boleh mewujudkan suasana tidak aman dalam kalangan masyarakat, di negeri ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu disifatkan sebagai perbuatan khianat bagi menggangu keharmonian kaum.

“Saya berasa dukacita atas perbuatan khianat membakar Surau Al-Huda, pada pagi Subuh 19 November lalu.

“Saya mengecam sekerasnya dan mencela tindakan tidak bertanggungjawab ini yang dilihat sebagai cubaan mencetuskan perasaan tidak tenteram antara kaum, agama dan bangsa dalam kalangan masyarakat majmuk, di Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat pelbagai kaum, di negeri ini supaya tidak mengambil tindakan yang boleh menyemarakkan permusuhan yang akan mewujudkan suasana tidak aman.

“Marilah kita bersama meraikan keunikan dan kepelbagaian yang ada dalam kalangan etnik bangsa, kaum juga agama, di Selangor supaya negeri dicintai ini akan terus aman makmur serta sentosa,” katanya.

Dalam kejadian pada 19 November lalu, dua lelaki dilihat membaling bom petrol (molotov cocktail) ke dalam surau ketika jemaah sedang menunaikan solat Subuh.

Bagaimanapun, saksi kejadian mendedahkan bom petrol berkenaan tidak meletup, manakala kedua suspek sudah ditahan, di Balai Polis Sri Damansara untuk siasatan lanjut.

Kedua suspek itu kini direman dan akan disiasat, di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

*Foto: Berita Harian


Pengarang :