Selangorkini
GLOBAL NASIONAL

iPhone X lonjak prestasi Apple

SEOUL, 10 NOV: Gergasi teknologi Amerika Syarikat, Apple Inc dijangka bakal mengatasi Samsung Electronics Co dalam pasaran global telefon pintar pada suku keempat, menerusi penjualan iPhone X.

Menurut data dikumpulkan pemerhati industri TrendForce, Apple dijangka menguasai 19.1 peratus pasaran dalam tempoh Oktober hingga Disember, lebih tinggi daripada jangkaan Samsung iaitu 18.2 peratus.

Samsung mengekalkan kedudukan teratas pada suku sebelumnya, dengan mencatatkan 21.1 peratus diikuti Apple 11.5 peratus.

“Pada suku ketiga, pengeluaran telefon pintar Samsung meningkat ekoran pengeluaran model Galaxy Note 8 dan kekukuhan jualan Galaxy J, walaupun pasaran berada pada paras sederhana dan rendah.

“Samsung dijangka mengurangkan skala pengeluaran model mewahnya pada suku keempat kerana mendapat tekanan lantaran permintaan kukuh keluaran terbaharu iPhone,” kata TrendForce, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

TrendForce berkata, memandangkan pengeluaran pada suku keempat Samsung akan menurun lima peratus mencecah 77 juta unit, sebaliknya Apple akan mencapai 81 juta unit dan iPhone X akan mengumpul satu pertiga daripada jualan.

Katanya, pasaran global telefon pintar pada 2018, dilihat akan beransur-ansur dalam pasaran tepu.

Keupayaan mengawal kos komponen yang semakin meningkat dan meluaskan pasaran di luar negara menjadi faktor utama mempengaruhi prestasi jualan jenama masing-masing.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :