Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Jangan politikkan pembinaan SJKC di Selangor

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 6 NOV: Pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) tidak perlu dipolitikkan pembangkang yang menuduh Kerajaan Negeri menyukarkan permohonan pembinaan sekolah itu di Selangor.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, dakwaan itu sengaja dibuat kerana pihak pembangkang tidak yakin dapat membina sekolah tersebut dalam tempoh ditetapkan.

“Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan timbalannya, Datuk Seri Wee Ka Siong memaklumkan kononnya Kerajaan Negeri menyukarkan permohonan untuk pembinaan sekolah ini serta menyalahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Keanggotaan lembaga sekolah baharu juga terdiri daripada pemimpin MCA tempatan dan mereka langsung tidak mengikut prosedur dan syarat ditetapkan PBT dan kerajaan tempatan,” katanya sambil menambah lima daripada sepuluh SJKC itu akan dibina di Selangor.

Chang Khim berkata, akibat tidak mengikut prosedur dan syarat-syarat tersebut dari awal, permohonan mereka tidak diterima dan isu itu telah dipolitikkan untuk menentang Kerajaan Negeri.

“Sikap ini amat tidak profesional..permohonan dan kebenaran pun belum dibentangkan kepada PBT tapi sudah menyalahkan mereka.

“Kita bertindak secara profesional untuk meluluskan semua permohonan dalam merancang pembinaan sekolah ini dengan syarat perlu mematuhi semua prosedur ditetapkan, tiada double standard”, katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di lobi Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini.


Pengarang :