NASIONAL

Jelajah negara kongsi kejayaan Selangor, P.Pinang

 

OLEH HAFIZAN TAIB

CHEMOR, 17 NOV: Program penerangan diadakan KEADILAN di seluruh negara menjadi medan terbaik menyalur informasi kejayaan PAKATAN mentadbir Selangor dan Pulau Pinang.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata menerusi program sebegini khususnya di kawasan luar bandar, membuka ruang rakyat menilai seadilnya bagi membuat pilihan dalam pilihan raya umum akan datang.

“Program penerangan sebegini di kawasan kampung saya kira amat efektif untuk rakyat melihat kejayaan kepimpinan Pulau Pinang dan Selangor.

“Ia sebagai contoh dua negeri yang berjaya menguruskan ekonomi dengan baik dan berintegriti,” katanya kepada media selepas Majlis Kenduri Rakyat di Kampung Ulu Chemor, di sini, hari ini.

Ia adalah sebahagian program disertai Timbalan Presiden KEADILAN itu dalam siri Jelajah KEADILAN Peduli Rakyat di Perak.

Berhubung pembahagian kerusi antara parti dalam PAKATAN khususnya di Perak, beliau berkata, masih terlalu awal untuk diumumkan kerana perbincangan sedang dijalankan.

Katanya, bagaimanapun pihaknya yakin ia mampu dimuktamadkan secara baik dalam tempoh ditetapkan.

“Program seperti ini memberi kita peluang bagi mendapat gambaran terhadap persiapan dilakukan bagi menghadapi pilihan raya umum termasuk kemungkinan berdepan pertembungan tiga penjuru,” katanya.


Pengarang :