Selangorkini
SELANGOR

Jenayah turun 20%, tiada aktiviti perjudian di Gombak

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 NOV: Tiada aktiviti perjudian dilaporkan dalam tempoh tiga bulan lalu di daerah Gombak, kata Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad.

Beliau berkata, indeks jenayah membabitkan kegiatan samun dan pecah rumah juga dilaporkan menurun 20 peratus bagi tempoh Januari hingga kini.

Beliau berkata, kejayaan itu didorong hasil komitmen berterusan pihak berkuasa dalam memerangi dan mencegah penularan aktiviti itu.

“Komitmen ditunjukkan anggota polis Gombak harus dipuji.

“Kita mesti mempertahankan prinsip dan integriti pasukan polis dengan menggandakan usaha pemantauan yang kita laksanakan.

“Keutamaan bagi pihak polis tentunya untuk kekal konsisten memastikan keselamatan dan keamanan rakyat kekal terjamin,” katanya, lapor The Star Online.

Terdahulu, di peringkat Kerajaan Negeri, komitmen membenteras penularan kegiatan jenayah di daerah Gombak dilaksanakan menerusi penubuhan ahli Pasukan Keselamatan dan Kejiranan (PKK).

Inisiatif itu digerakkan secara konsisten oleh Ahli Dewan Negeri (ADN), Gombak Setia, Hasbullah Ridzwan yang disokong sepenuhnya, Ahli Parlimen kawasan itu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

PKK ditubuhkan bertujuan mencegah jenayah dan menangani gejala sosial dan jenayah di kawasan berkenaan.


Pengarang :