SELANGOR

Jumlah kenderaan tinggi, faktor kemalangan meningkat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PELABUHAN KLANG, 23 NOV: Selangor mencatatkan kadar kemalangan tertinggi jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya dengan 64 kes bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Timbalan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Selangor, Datuk Mazalan Md Noor berkata, peningkatan sembilan kes direkodkan berbanding tempoh sama, tahun lalu.

Beliau berkata, faktor pertambahan jumlah kenderaan yang masuk ke negeri ini mendorong kepada peningkatan jumlah itu.

“Selangor merupakan negeri tumpuan mencari rezeki dan laluan utama untuk ke semua destinasi.

“Dalam masa sama ia menjadi negeri tertinggi berlakunya kemalangan ekoran yang memungkinkan pertambahan kemasukan jumlah kenderaan ke Selangor.

“Sikap pemandu itu sendiri turut menjadi antara faktor penting membolehkan berlakunya kemalangan di jalan raya kini,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Pada Majlis Perasmian Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia Peringkat Negeri Selangor, di Sekolah Kebangsaan Pulau Indah 2, pagi ini.

Beliau berkata, MKJR sedia bekerjasama dengan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi mencari penyelesaian terbaik mengurangkan kadar kemalangan di negeri ini.

“Insiatif lain diusahakan MKJR termasuklah pembiayaan kewangan RM500 kepada 20 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah untuk penganjuran seminar atau kempen keselamatan jalan raya di sekolah,” katanya.

Terdahulu, Mazalan Md Noor turut menyerahkan ‘jacket’ dan topi kaledar keselamatan kepada pelajar sekolah sebagai insiatif galakan keselamatan golongan itu.

Sebelumnya, turut diadakan demostrasi keselamatan kemalangan jalan raya yang turut disertai Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Polis Di Raja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, RELA dan kakitangan perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.


Pengarang :