Selangorkini
NASIONAL

Kapten Izham hanya CEO MAB sementara?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 NOV: Pelantikan Kapten Izham Ismail sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Malaysia Airlines Bhd (MAB) dijangka sekadar bersifat sementara ekoran peletakan jawatan mengejut Peter Bellew.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob menjangkakan demikan apabila keputusan pelantikan itu dibuat dalam tempoh masa singkat berbanding pelantikan sebelum ini memakan masa lebih panjang mencari pengganti sesuai.

“Bukan mudah memulihkan syarikat penerbangan seperti MAB, rugi besar dan ditambah pula melalui dua pengalaman ngeri pesawatnya terhempas.

“Maknanya, reputasi MAS tidak begitu baik. Ini bermakna MAS memerlukan CEO berwibawa,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Katanya, beliau tidak menolak kemampuan Kapten Izham membuktikan keupayaannya sebagai GCEO memandangkan beliau memiliki pengalaman sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) MAB sebelum ini.

Kapten Izham berpengalaman selama 38 tahun dalam industri penerbangan apabila memulakan kerjaya di MAB sebagai juruterbang pada 1979 dan telah memecahkan rekod penerbangan dunia dengan menerbangkan pesawat B777-200 pertama MAB pergi dan balik dari Seattle ke Kuala Lumpur.

Selain itu, sebelum dilantik sebagai COO pada 2016, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MASwings, syarikat sekutu Malaysia Airlines di Sabah dan Sarawak.

Rosli berkata pengurusan MAS perlu mengelakkan berlakunya campur tangan politik sehingga menyebabkan CEO berada di dalam keadaan sukar membuat sebarang keputusan penting dengan tepat.

“Beri ruang CEO dilantik untuk mengemudi. Beri dia kuasa menjalankan syarikat,” katanya.

=EZY=

 


Pengarang :