Selangorkini
NASIONAL

Kenapa import buku teks Bahasa Inggeris untuk pelajar Sepanyol?

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Buku teks baru diperkenalkan Kementerian Pendidikan Pulse 2 bagi kegunaan pelajar tingkatan 1 didakwa dicetak untuk kegunaan pelajar Sepanyol.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, beliau meneliti lebih mendalam buku berkenaan selepas mendedahkannya minggu lalu dan menemui beberapa perkara berkaitan budaya Sepanyol yang tidak bersesuaian dengan budaya tempatan.

“Selepas meneliti buku teks ini pada muka surat lapan, saya menemui satu latihan yang menanyakan maksud ‘poster’. Hasil carian di Google Translate ia bermaksud ‘cartel’ dalam bahasa Sepanyol.

“Terdapat juga perkataan ‘lápiz’ yang bermaksud pensil. Bagaimana pelajar Malaysia nak jawab soalan ini sedangkan tidak mempunyai pendedahan mengenai Sepanyol?,” soalnya.

Bercakap pada sidang media di Pusat Media Parlimen beliau mendedahkan buku berkenaan sebenarnya untuk kegunaan pelajar di Sepanyol kerana terdapat maklumat penerbitan ‘Printed and Bound in Spain by Edelvives’.

Beliau berkata jika syarikat penerbitan tempatan gagal untuk memenuhi Kerangka Rujukan Umum Untuk Bahasa Eropah (CEFR), pastinya mereka mampu menambah baik kandungan buku teks sedia ada supaya selari dengan kehendak ditetapkan.

“Awal tahun ini kementerian sudah membelanjakan RM7.1 juta untuk buku teks baru dan menambah kos RM33 juta lagi pada pertengahan tahun tanpa tander terbuka.

“Saya percaya syarikat tempatan juga mampu memenuhi ciri yang diperlukan mengenai kandungan buku teks berbanding mengimport buku teks,” katanya.

=EZY=


Pengarang :